MANGSA banjir di Kampung Bukit Mukim Derang membawa barang keperluan ke Pusat Pemindahan Banjir selepas rumah mereka dinaiki air. FOTO BERNAMA
MANGSA banjir di Kampung Bukit Mukim Derang membawa barang keperluan ke Pusat Pemindahan Banjir selepas rumah mereka dinaiki air. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dua negeri di wilayah utara masih terjejas dengan bencana banjir apabila jumlah mangsa di Kedah terus meningkat pagi ini dan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Perlis.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah di Arau, PERLIS dibuka pada 8 malam tadi susulan banjir kilat yang berlaku di Kampung Kubang Gajah akibat hujan berterusan sejak petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata PPS itu menempatkan 42 mangsa daripada 16 keluarga dari kampung berkenaan.

Semalam, Bernama melaporkan banjir di Arau pulih sepenuhnya apabila PPS di SK Arau yang menempatkan 38 mangsa daripada 11 keluarga dari Kampung Titi Besi dan Kampung Kebun ditutup pada 2.45 petang.

Di KEDAH, jumlah mangsa terus mencatatkan peningkatan kepada 1,220 orang daripada 372 keluarga pagi ini berbanding 701 orang daripada 201 keluarga malam tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana APM Kedah Mej (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa ditempatkan di 11 PPS melibatkan daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Baling.

Empat PPS dibuka di Kubang Pasu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang di Changlun, SK Malau dan Dewan PPK Lubuk Batu manakala dua PPS beroperasi di Kota Setar (SK Taman Aman dan SMK Kepala Batas).

Selain itu, tiga PPS dibuka di Pokok Sena (SK Bukit Hijau, Maahad Tarbiyah Derang dan Surau Permatang Limau) manakala dua PPS di Baling (SK Iboi dan SMK Jerai).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 10:20 AM