JAMBATAN Bailey ditutup kepada kenderaan berat berikutan hakisan tebing susulan hujan lebat di Kampung Iboi malam tadi.
JAMBATAN Bailey ditutup kepada kenderaan berat berikutan hakisan tebing susulan hujan lebat di Kampung Iboi malam tadi.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah mencatatkan peningkatan manakala di Perlis berkurangan pagi ini.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan terus meningkat kepada 1,908 orang daripada 576 keluarga pagi ini, berbanding 1,813 orang daripada 530 keluarga malam tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua mereka daripada daerah Kubang Pasu, Pokok Sena, Baling dan Kota Setar yang ditempatkan di 15 PPS.

Beliau berkata, di Kubang Pasu dan Pokok Sena masing-masing terdapat tiga PPS yang dibuka, manakala di Baling, empat PPS dan Kota Setar terdapat lima PPS.

"PPS di Kubang Pasu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Sekolah Kebangsaan (SK) Malau dan Dewan PPK Lubuk Batu, manakala PPS di Pokok Sena pula di SK Bukit Hijau, Maahad Tarbiyah Derang dan SK Permatang Limau.

"Sementara itu, PPS di Baling membabitkan SK Iboi dan SMK Jerai, SK Kampung Keda dan Surau Annur," katanya dalam kenyataan.

Muhammad Suhaimi berkata, di Kota Setar, PPS membabitkan SK Taman Aman, SMK Kepala Batas dan SK Seri Gunung dan dua lagi PPS yang baru dibuka iaitu SK Titi Gajah dan SMK Alor Merah.

Di Perlis jumlah mangsa banjir hari ini berkurangan kepada 44 orang berbanding 48 orang semalam.

Pengarah APM Perlis Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, semua mangsa daripada 16 keluarga itu ditempatkan di PPS di dewan SK Kubang Gajah.

"Mangsa terdiri daripada 27 dewasa, 15 kanak-kanak dan dua bayi yang dipindahkan dari kampung Kubang Gajah dan Alor Ara," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, keadaan cuaca hari ini cerah setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 10:56 AM