Pasukan Bomba berjaya memindahkan mangsa banjir di Kampung Padang. FOTO IHSAN BOMBA
Pasukan Bomba berjaya memindahkan mangsa banjir di Kampung Padang. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Pasukan Bomba berjaya menyelamatkan 14 mangsa yang terjejas akibat banjir kilat di Kampung Padang, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Md Daud berkata, kesemua mangsa terdiri daripada seorang lelaki warga emas, dua wanita dewasa empat kanak-kanak dan tujuh individu dewasa.

Menurutnya, mereka dimaklumkan berhubung kejadian banjir kilat itu pada jam 8.34 malam.

"BBP Baling ke lokasi dan didapati paras air setinggi 0.6 meter dan lapan rumah terjejas akibat banjir yang membabitkan 14 mangsa daripada empat keluarga.

"Kesemua mangsa dipindahkan ke rumah JKK Kampung Padang sementara waktu," katanya.

Mohd Jamil menasihatkan penduduk di kawasan risiko rendah supaya berhati-hati sekiranya hujan lebat dan bersedia untuk berpindah jika paras air makin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 11:48 PM