ABDUL Mutalif (dua dari kanan) bersama ahli PVATM Petaling.
ABDUL Mutalif (dua dari kanan) bersama ahli PVATM Petaling.

Kuala Lumpur: Peranan veteran tentera sebagai mata dan telinga kerajaan masih relevan ketika negara berdepan pelbagai isu yang sengaja diwujudkan pihak tertentu untuk menggugat keharmonian negara.

Sering digelar sebagai wira tidak didendang, keutuhan semangat ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), menjadi bukti betapa nilai seorang pejuang tidak pernah luntur dalam hati mereka.

Naib Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan Datuk Abdul Mutalif Rahim berkata, komitmen kerajaan yang tidak mengabaikan kebajikan veteran tentera menjadi pembakar semangat kepada 2,000 ahlinya untuk terus membantu kerajaan mendepani pelbagai krisis terutama menangkis dakyah pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, biarpun masih dibelenggu beberapa isu seperti pelarasan pencen veteran ATM, ia masih dianggap kecil jika dibandingkan kelebihan seperti Program Baik Pulih Rumah Veteran ATM 1 Malaysia selain kebajikan perubatan dan pendidikan untuk anak-anak pesara.

“Bekas tentera tidak mengharapkan pengorbanan dicurahkan dibayar dengan wang ringgit, tetapi mengingatkan bahawa semua orang perlu menginsafi penderitaan mereka yang terbabit seperti balu dan waris,” katanya pada Perhimpunan dan Mesyuarat Agung Tahunan ke 36 PVATM Petaling, di sini.

Hadir sama, Ketua PVATM Petaling Datuk Sariki Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 6:41 AM