Mohd Roji Kawi

Kuching: Penerima Dana Kandungan Digital (DKD) akan menerima diskaun 20 peratus jika karya mereka berjaya meraih anugerah khususnya di peringkat antarabangsa.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, tawaran istimewa itu adalah tambahan diskaun 20 peratus bagi sewaan peralatan di Studio Sound Stage milik Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini.

Menurutnya, ia adalah tawaran istimewa pihaknya kepada pengkarya filem di Sarawak dan Sabah yang membuat permohonan untuk mendapatkan pembiayaan DKD yang bermula 11 September lalu hingga 12 Oktober depan.

"Kerajaan menyediakan DKD sebanyak RM3 juta untuk pengkarya di Sarawak dan Sabah bagi menyuntik semangat mereka untuk menghasilkan karya khususnya kandungan yang memaparkan kisah rakyat Sarawak dan Sabah serta impian masa depan mereka.

"Sebagai tambahan untuk menggalakkan mereka menghasilkan karya berkualiti dan diakui di peringkat antarabangsa, kita menawar diskaun untuk sewaan peralatan di studio Finas," katanya.

FAHMI (dua kanan) ketika sidang media selepas pelancaran Program Fast Track: How To Be A Content Creator dan Perasmian Studio Sound Stage. FOTO Nadim Bokhari
FAHMI (dua kanan) ketika sidang media selepas pelancaran Program Fast Track: How To Be A Content Creator dan Perasmian Studio Sound Stage. FOTO Nadim Bokhari

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Fast Track: How To Be A Content Creator dan Perasmian StudioSound Stage di Pejabat Finas Cawangan Sarawak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, setiap pengkarya di Sarawak dan Sabah layak menerima DKD sehingga RM100,000 dan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kemudahan itu, pengkarya boleh melayari laman web FINAS di http://sppik.finas.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 2:09 PM