Pengarah Urusan Risk Avenger, Kanthi Kulasekaran, Azmir Saifuddin (tengah) dan Jurey Latif (kanan) pada sesi perbincangan Skim Pengurusan Risiko Industri  Filem Malaysia. Foto Rohanis Shukri
Pengarah Urusan Risk Avenger, Kanthi Kulasekaran, Azmir Saifuddin (tengah) dan Jurey Latif (kanan) pada sesi perbincangan Skim Pengurusan Risiko Industri Filem Malaysia. Foto Rohanis Shukri
Ramlah Zainal


Petaling Jaya: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan melaksanakan Skim Perlindungan Dana Kandungan Digital (SPDKD) kepada penerima Dana Kandungan Digital (DKD) pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya akan mencadangkan pelaksanaan SPDKD itu kepada bahagian Ahli Lembaga Pengarah, Finas dan kementerian kerana DKD di bawah Kementerian Komunikasi Digital.

Menurut Azmir, SPDKD adalah satu cadangan pengurusan risiko khas bagi melindungi risiko-risiko berkaitan penyaluran DKD dan proses produksi agar ketirisan DKD akibat projek terbengkalai serta kerugian luar jangka dapat dikurangkan.

Katanya, kebiasaannya, bila berlaku kerugian ketika produksi DKD yang disalurkan akan digunakan oleh penerbit untuk menampung kerugian terbabit.

"Kerugian itu pula seterusnya mengganggu perjalanan produksi.

"Apabila sumber DKD digunakan untuk menampung kerugian produksi, kesan sampingannya adalah kekurangan dana untuk meneruskan produksi sehingga produksi terbengkalai," kata Azmir ditemui pada sesi perbincangan mengenai Skim Pengurusan Risiko Industri Filem Malaysia bersama K.Wealthlab.com yang berlangsung di pejabat Finas di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Pengerusi K.Wealthlab.com, Datuk Jurey Latiff dan Pengarah Urusannya, Kanthi Kulasekaran.

Mengenai Skim Pengurusan Risiko Industri Filem lagi, kata Azmir, jika di Hollywood, mana-mana projek yang menerima bajet dari investor (pelabur) dan dana kerajaan akan mengambil 'completion bonds' (bon insurans) untuk melindungi projek mereka dari ditimpa kemalangan, kelewatan dan penambahan bajet.

"Kita di Malaysia akan menuju ke arah itu di mana Finas dan pengurusan serta ahli lembaga pengarah ingin merealisaskan bagaimana untuk perkenalkan industri eko-sistem dan pembiayaan filem.

"Pihak kita juga banyak beri sokongan dana dan insentif untuk menggalakkan syarikat untuk menghasilkan content (kandungan) kerana projek komersil berdepan banyak risiko termasuk bencana atau ekstra bajet untuk disiapkan.

"Justeru, pihak K.Wealthlab.com datang untuk membantu dan memberi sokongan kepada ekosistem industri dengan insurans produksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 6:35 PM