KEMALANGAN maut membabitkan tiga kenderaan di KM 19 Jalan Karak-Kuala Pilah, dekat Bentong, hari ini. FOTO Ihsan Polis
KEMALANGAN maut membabitkan tiga kenderaan di KM 19 Jalan Karak-Kuala Pilah, dekat Bentong, hari ini. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Bentong: Lelaki maut apabila motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika cuba memotong kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer (KM) 19 Jalan Karak-Kuala Pilah, dekat sini, hari ini.

Dalam kemalangan pada 3.20 petang itu, mangsa, S Vivakanandan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah motosikal, MPV dan kenderaan pacuan empat roda.

"Berdasarkan kesan kerosakan kenderaan, kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal, lelaki berusia 33 tahun cuba memotong MPV dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun.

"Tindakan itu (memotong kenderaan) menyebabkan motosikal mangsa bertembung dengan sebuah kenderaan kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun dan tercampak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, penunggang motosikal maut di lokasi kejadian, manakala pemandu MPV dan kenderaan pacuan empat roda pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian disebabkan pemanduan secara melulu dan berbahaya," katanya.

Beliau memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 11:16 PM