FOTO hiasan
FOTO hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Bentong: Pekerja kilang maut dirempuh seorang pemandu pacuan empat roda yang dipercayai mabuk dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Bentong menghala Raub di sini, semalam.

Mangsa, Muhammad Nor Izad Abdul Karim, 22, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bentong.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian 10.15 malam.

"Siasatan polis mendapati kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 65 tahun yang dalam perjalanan dari arah Raub menghala ke Bentong masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar motosikal ditunggang mangsa.

"Siasatan polis juga mengesyaki pemandu terbabit di bawah pengaruh alkohol. Lelaki itu ditahan untuk siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaiham berkata, suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 8 Jun depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang awam yang melihat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 9:09 PM