KERETA yang terbabit kemalangan di Kilometer 41 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, awal pagi tadi. FOTO ihsan polis
KERETA yang terbabit kemalangan di Kilometer 41 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, awal pagi tadi. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Bentong: Dua beranak maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 41 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan jam 1.30 pagi itu membabitkan tiga kenderaan iaitu Honda, Proton dan sebuah treler.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati Honda dipandu lelaki berusia 58 tahun bersama tiga penumpang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Terengganu sebelum kenderaan itu dipercayai hilang kawalan.

"Kenderaan itu kemudian melanggar bahagian belakang sebuah treler dipandu lelaki berusia 31 tahun yang berada di lorong kiri.

"Kereta itu kemudian berpusing dan masuk ke lorong kanan sebelum dilanggar sebuah Proton dipandu lelaki berusia 18 tahun yang tidak sempat mengelak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, kejadian itu mengakibatkan dua penumpang Honda masing-masing ibu dan anak perempuannya berusia 52 dan 28 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

"Beberapa mangsa lain yang mengalami kecederaan pula dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Beliau memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memandu berhati-hati dan berhemah selain memastikan kenderaan dipandu diselenggara dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 12:13 PM