KEADAAN berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 76 ketika tinjauan sehingga sekitar pulau Labuan semalam. FOTO Bernama
KEADAAN berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 76 ketika tinjauan sehingga sekitar pulau Labuan semalam. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pencemaran jerebu yang kembali melanda Malaysia menjadi punca kebimbangan terhadap kesihatan awam dan rakyat negara ini perlu memahami risiko berkaitan bagi membolehkan mereka mengambil langkah pencegahan yang berkesan, kata pakar kesihatan.

Pakar Perunding Pernafasan dan Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway Dr Kow Ken Siong berkata pendedahan yang berterusan terhadap udara tercemar boleh membawa kepada penyakit pernafasan seperti asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), radang paru-paru dan kanser paru-paru.

Beliau berkata pencemaran udara termasuk jerebu dikaitkan dengan kematian pramatang, jangkitan dan pelbagai penyakit dengan penyakit pernafasan kronik menduduki tempat ketiga sebagai penyebab kematian di seluruh dunia pada 2019.

"Di Malaysia, keadaan ini menjadi antara faktor penyumbang yang menyebabkan kemasukan ke hospital serta membawa kematian dan ia merangkumi hampir 20 peratus daripada hospital awam serta lebih 12 peratus daripada hospital swasta pada 2020," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Kow berkata memandangkan jerebu adalah isu yang berterusan di negara ini, adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk memahami bagaimana ia menjejaskan kesihatan pernafasan dan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi menjaga kesejahteraan mereka.

Beliau berkata zarah halus dalam jerebu yang berdiameter kurang daripada 2.5 micron boleh mendatangkan kesan berpanjangan terutama apabila dihidu dan jika terdedah kepada jerebu, biarpun untuk jangka pendek, boleh mengakibatkan gejala bronkitis akut seperti batuk, kahak, sesak dada, sesak nafas dan kelesuan.

"Golongan rentan seperti kanak-kanak, warga tua dan mereka yang mempunyai penyakit seperti asma dan kardiovascular berdepan risiko yang lebih tinggi. Sekiranya terdedah kepada jerebu secara berterusan selama beberapa tahun, ia boleh memburukkan lagi keadaan kronik paru-paru yang sedia ada, meningkatkan risiko kanser paru-paru dan membawa kepada serangan bronkitis dengan kerap.

"Individu yang tidak mempunyai masalah kesihatan juga mungkin mengalami simpton saluran pernafasan atas dan berisiko mendapat jangkitan virus," katanya.

Justeru, beliau berkata ketika berdepan kualiti udara yang teruk, rakyat Malaysia hendaklah mengambil langkah pencegahan seperti duduk di rumah sekerap mungkin, menggunakan penulen udara berkualiti tinggi dengan penuras High Efficiency Particulate Air (HEPA) selain kekal hidrat sepanjang hari untuk mengurangkan risiko yang dikaitkan dengan jerebu.

Dr Kow turut mengesyorkan penggunaan pelitup muka N95 apabila berada di luar rumah untuk jangka panjang supaya boleh membantu menapis zarah halus yang mingkin berbahaya selain menggalakkan rakyat Malaysia memantau kualiti udara melalui sumber rasmi, mengehadkan aktiviti luar dan mendapatkan nasihat perubatan profesional jika mengalami simptom paru-paru atau jantung.

"Dapatkan maklumat terkini dan rawatan perubatan yang tepat pada masanya adalah penting untuk menjaga kesihatan paru-paru semasa jerebu melanda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 11:04 PM