Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Penceramah dan pendakwah bebas terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim mahu kerajaan Perak mengiktiraf Pusat Pendidikan Al-Barakah (Al-Barakah) di Manjoi di sini, yang diasaskannya sebagai salah satu destinasi pelancongan.

Ustaz Kazim berkata, pengiktirafan sedemikian dilihat perlu berikutan kehadiran ribuan pelancong dari serata Malaysia selain negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Kemboja dan Thailand ke pusat pengajian pondok agama itu setiap bulan yang dilihat berupa merancakkan industri pelancongan negeri.

Menurutnya, selain membolehkan model pelancongan Islamik yang berasaskan ilmu dan pembangunan insan berkembang subur di Perak, pengiktirafan sedemikian dilihat membolehkan pusat itu menerima peruntukan bagi penyediaan kemudahan seperti mana tempat pelancongan lain.

"Kami di Al-Barakah sudah mengesyorkan sedemikian kepada kerajaan negeri sejak lama dulu supaya pusat ini diberikan pengiktirafan kemudahan sebagai destinasi pelancongan Muslim di Perak tetapi setakat ini belum ada maklum balas positif.

"Ramai tidak tahu Al-Barakah menerima kira-kira 2,000 pengunjung dari luar Perak setiap minggu untuk menuntut ilmu di sini, bahkan sepanjang 2022 hampir 100,000 pengunjung dicatatkan yang mana selain pelawat dari Malaysia, pelawat antaranya dari Turkiye dan Perancis pun ada ke sini.

"Pengiktirafan sedemikian juga dilihat mampu menarik bukan saja pelancong Muslim malah bukan Muslim pun dialu-alukan untuk ke Al-Barakah, bertepatan dengan hasrat Datuk Bandar Ipoh yang suatu ketika pernah memanggil saya kerana hendak menjadikan Kampung Manjoi di sini sebagai hab perkampungan Islamik," katanya sewaktu sidang media di pusat pengajian berkenaan hari ini.

Beliau berkata, berbanding sekadar pusat pendidikan agama Islam, pengiktirafan berkenaan membolehkan Al-Barakah juga disasarkan sebagai antara pusat bagi integrasi kaum dan agama.

"Apa salahnya kita jadikan pusat pendidikan ini sebagai untuk integrasi kaum, supaya bila sebut pelancongan semua kaum (agama) akan datang berbanding sekadar 'sekolah' (pusat pendidikan).

"Saya juga sudah lama adakan kerjasama dengan bangsa serta penganut agama lain dalam meneruskan kelangsungan operasi Al-Barakah, antaranya berkaitan penyediaan penginapan hotel kepada pengunjung Al-Barakah yang datang dari serata negara," katanya.

Menurutnya, satu kerugian besar apabila puluhan ribu pengunjung dari serata negara yang lazimnya berkunjung secara rombongan bas ke pusat pendidikan yang diasaskannya itu hanya semata-mata datang untuk sesi pengajaran dan ceramah tanpa agenda 'serampang dua mata' iaitu melawat tempat menarik.

"Setakat ini kami bekerjasama dengan beberapa hotel sekitar Ipoh untuk menjadikan ia sebagai tempat penginapan pelawat khususnya dari Singapura dengan harga istimewa. Jadi saya rasa kehadiran mereka ke sini memberi impak ekonomi juga untuk industri perhotelan di Ipoh.

"Kita harapkan pula agar ada kerjasama antara kita dengan kerajaan negeri khususnya untuk bahagian pelancongan, agar pelawat ke Al-Barakah bukan hanya ke situ sebaliknya berpeluang juga melawat sekitar Ipoh, memandangkan setakat ini kami tidak mempunyai akses seperti untuk ke muzium dan sebagainya.

"Sekarang ini, pengunjung Al-Barakah datang sini kemudian mereka lazimnya akan terus balik ke negeri masing-masing selepas habis sesi pembelajaran. Mengapa tidak kita ambil kesempatan itu untuk ribuan pelancong yang hadir ini bagi menaikkan sektor pelancongan negeri?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 1:17 PM
Sidang media Ustaz Kazim di Pusat Pendidikan Al- Baroqah Kampung Manjoi Silibin Ipoh. FOTO L MANIMARAN
Sidang media Ustaz Kazim di Pusat Pendidikan Al- Baroqah Kampung Manjoi Silibin Ipoh. FOTO L MANIMARAN