Mohd Faizal Aziz menunjukan gambar anak anaknya, Muhammad Azzim Imni. FOTO Asrol Awang
Mohd Faizal Aziz menunjukan gambar anak anaknya, Muhammad Azzim Imni. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Kanak-kanak lelaki yang maut dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kampung Padang Jaya 2, di sini, semalam disifatkan anak yang peramah, berdikari dan suka bergurau.

Dalam insiden kira-kira 6.45 petang itu, Muhammad Azzim Imni Mohd Faizal, 8, meninggal dunia di tempat kejadian.

Bapa mangsa, Mohd Faizal Aziz, 36, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu mudah bergaul dan mesra serta disenangi terutama di kalangan keluarga terdekat.

"Arwah memang anak yang tidak suka meminta tetapi suka apabila dibawa berjalan-jalan. Arwah juga suka bergurau dengan dua adik serta keluarga terdekat.

"Cuma apa yang saya perasan sejak minggu lalu, dia kurang selera makan biarpun saya ingin menyuapnya. Tetapi saya gembira kerana pada cuti persekolahan, dia pergi ke Kelantan mengikut bapa saudaranya.

"Jika diikutkan perancangan, kami akan bercuti di Janda Baik, Bentong kerana sudah menempah chalet dan baju baharu, Sabtu ini. Namun, hajat membawa arwah tidak kesampaian," katanya.

Mohd Faizal berkata demikian ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, semalam.

Menceritakan semula kejadian, Mohd Faizal berkata, sebelum kejadian, Allahyarham keluar bermain bersama adiknya berusia enam tahun.

"Arwah berbasikal manakala adiknya berjalan kaki dan hanya bermain di depan rumah. Tetapi kawan arwah mengajak bermain di taman kira-kira 200 meter dari rumah dan ketika dalam pulang, berlaku kemalangan," katanya.

Katanya, arwah juga memasang impian untuk membelikan sebuah kereta buat datuknya.

"Arwah rapat dengan tok ayah (datuk) dan kebiasaannya selalu beritahu akan membeli kereta tetapi minggu lalu, arwah ada beritahu sempat atau tidak dia membelinya," katanya memaklumkan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah, Rompin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 1:22 PM