Nurhikmah Mohd Zuki, 30, bersama arwah suaminya, Zamani Zakaria, 34, yang maut ketika menyertai konvoi misi bantuan mangsa banjir di Kelantan, Sabtu lalu serta dua anaknya.
Nurhikmah Mohd Zuki, 30, bersama arwah suaminya, Zamani Zakaria, 34, yang maut ketika menyertai konvoi misi bantuan mangsa banjir di Kelantan, Sabtu lalu serta dua anaknya.
Oleh Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: "Arwah memang tak sabar nak lihat anak bongsu ini yang dijangka lahir pada 29 April depan, selain berharap dapat anak lelaki, biar cukup tiga lelaki dan tiga perempuan," kata Nurhikmah Mohd Zuki, 30, isteri Zamani Zakaria, 34, yang maut ketika menyertai konvoi misi bantuan mangsa banjir di Kelantan, Sabtu lalu.

Arwah dilanggar sebuah kenderaan ketika menukar tayar lori dipandunya yang bocor di Kampung China, Jalan Paloh Rawa, Machang, Kelantan pada 3.30 petang.

Pemergian Zamani mendapat simpati masyarakat kerana meninggal dunia ketika melakukan kebajikan, malah dalam keadaan nazak jari telunjuknya terangkat seperti mengucap dua kalimah syahadah.

Gambar arwah sebelum itu dimuat naik peserta konvoi, Adam Hamid, 40, di Facebook sehingga menjadi viral dan turut dilaporkan Harian Metro.

Nurhikmah yang mengandung enam bulan berkata, dia dimaklumkan oleh suaminya yang mahu menyertai konvoi itu pada 5 petang, Jumaat lalu.

“Arwah menyuruh saya mengemaskan pakaiannya dan barang keperluan untuk dibawa ke Kelantan.

“Dia beriya-iya untuk turut serta dalam konvoi itu dan saya juga tidak menghalang kerana beranggapan arwah mahu membuat perkara baik iaitu membantu mangsa banjir di sana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, sebelum bertolak ke Kelantan, dia, Zamani dan lima anaknya sempat makan malam bersama di sebuah restoran di Saujana Impian, Kajang, pada 9 malam.

“Arwah seperti biasa, bergurau senda bersama anak. Selesai makan malam, saya dan anak kemudian menghantar arwah ke kedai rakannya yang menyertai konvoi terbabit,” katanya.

Menurutnya, sejak lebih tiga bulan lalu, arwah sering menyebut perkataan mati selain menekankan hal agama kepadanya dan lima anaknya.

"Arwah juga ada berpesan kepada saya jika dia (arwah) meninggal dunia nanti, jangan iring jenazahnya ke kubur kerana tidak mahu saya dan anak bersedih.

"Saya dan suami memang ada mengikuti kelas agama dan apabila suami banyak menyebut hal berkaitan mati, sebagai orang Islam, saya anggap itu perkara biasa kerana saling mengingati antara satu sama lain," katanya.

Nurhikmah berkata, dia kini perlu tabah bagi memastikan lima anaknya berusia 13 hingga 4 tahun kuat menghadapi apa yang berlaku.

“Sudah masuk hari kelima arwah meninggalkan kami. Kalau anak ada bertanyakan arwah, saya hanya maklum banyakkan berdoa untuk ayah,

“Alhamdulillah, tiga anak perempuan dan dua anak lelaki saya semakin dapat menerima takdir Allah. Saya juga reda dengan pemergian arwah kerana sudah ketentuan Ilahi,” katanya.

Katanya, dia kini dalam perancangan untuk berpindah dari Kajang ke rumah ibu angkat, Noor Jamaliah Sharifuddin, 60, di Ampang dalam tempoh terdekat.

“Ia bagi memudahkan saya menguruskan persekolahan tiga anak yang bersekolah. Ibu angkat boleh hantar dan ambil mereka ketika saya bekerja,

“Anak sulung, Muhammad A’in Nur Az-Zahir Zamani Zakaria, 13, sejak kecil memang tinggal dengan keluarga arwah dan bersekolah di Taman Maju, Kota Bharu, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 8:34 PM