WAN Sukairi (dua dari kiri) menyerahkan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 dan pencen penakat kepada Siti Mastura. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
WAN Sukairi (dua dari kiri) menyerahkan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 dan pencen penakat kepada Siti Mastura. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: "Saya sempat ajar arwah mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya," kata Siti Mastura Makhtar, 33.

Siti Mastura isteri kepada Allahyarham Che Andli Che Hashim, 50, bekas jurulatih tinju Terengganu yang meninggal dunia selepas terjatuh dalam bilik air di rumahnya ketika menjalani tempoh kuarantin bersama keluarganya kerana positif Covid-19 pada 1 September lalu.

"Arwah terjatuh ketika mahu mandi dan mengambil wuduk bagi menunaikan solat Asar kira-kira jam 5.30 petang.

"Saya kebetulan berada dalam rumah sempat terdengar bunyi benda jatuh dan segera mendapatkannya sebelum dia meninggal dunia.

"Arwah pernah beritahu mahu meninggal dunia di rumah dan tak sangka hajatnya itu kesampaian," katanya.

Siti Mastura berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 oleh Skuad Perkeso Prihatin di rumahnya di Kampung Gong Kepas Dalam, di sini, hari ini.

Penyerahan dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Putera Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu Farihah Che Husin serta wakil Majlis Sukan Negeri Terengganu.

Siti Mastura layak menerima faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 dan faedah pencen penakat berjumlah RM1,040 daripada Perkeso.

Ibu kepada empat anak berkata, arwah menunjukkan perubahan sikap dua hari sebelum meninggal dunia apabila lebih banyak mendiamkan diri berbanding kebiasaan suka bergurau bersama keluarga.

"Pada mulanya kami menyangka arwah hanya mengalami demam biasa dan batuk kerana dia turut menghidap beberapa penyakit lain seperti kencing manis, jantung dan darah tinggi tetapi ujian calitan mendapati arwah sah positif Covid-19," katanya.

Katanya, bantuan dan bayaran faedah ini dapat membantu dalam meringankan sedikit bebanan keluarga.

"Ini kerana keempat-empat anak masih bersekolah sedangkan saya hanya seorang suri rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 2:04 PM