Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia setahun, bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan ketika kertas pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh, S Nagendran, 34, di hadapan Majistret Nur Fatin Mohd Farid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh kanak-kanak lelaki berusia 15 bulan di sebuah Pangsapuri Ampang Jajar, Seberang Perai Utara antara 6.25 petang pada 23 Ogos hingga 4.50 petang pada 26 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma' 'Amira Shahidani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Mac depan bagi serahan laporan kimia serta bedah siasat.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, polis menahan sembilan suspek termasuk ibu muda berusia 16 tahun bagi membantu siasatan kematian bayi lelaki yang dipercayai didera.

NAGENDRAN diiringi anggota polis ketika hadir di Mahkamah Majistret Butterworth. FOTO Danial Saad
NAGENDRAN diiringi anggota polis ketika hadir di Mahkamah Majistret Butterworth. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 12:15 PM