Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Doktor di sebuah hospital kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas lima pertuduhan bersubahat dengan dua syarikat untuk menipu berhubung pembekalan dan pemasangan peralatan perubatan tidak wujud berjumlah RM16,875.

Bagaimanapun tertuduh, Megat Mohammad Fakhri Kamaruzaman, 31, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika kesemua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, dia didakwa bersubahat dengan pemilik perniagaan Sri Persada Megah Enterprise untuk menipu empat kakitangan Jabatan Pengurusan Hilang Upaya dan Vokasional, Pusat Rehabilitasi Perkeso Sdn Bhd.

Ia adalah dengan sengaja memperakukan pembayaran kepada syarikat terbabit untuk pembekalan dan pemasangan peralatan perubatan berjumlah RM11,880 yang ia sebenarnya tidak wujud.

Semua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan antara 8 Januari hingga 10 Mei 2021 di Jabatan Orthopedik Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa bersubahat dengan pemilik perniagaan, Perintis Medfix Enterprise untuk menipu Ketua Tuntutan Pembayaran Protecthealth Corporation Sdn Bhd iaitu dengan sengaja memperakukan pembayaran kepada syarikat itu untuk pembekalan peralatan perubatan berjumlah RM4,995 yang ia sebenarnya tidak wujud.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 17 Julai hingga 3 Disember 2020 di lokasi yang sama.

MEGAT Mohammad Fakhri hadir di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth. FOTO Danial Saad
MEGAT Mohammad Fakhri hadir di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth. FOTO Danial Saad

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam Muhaimin Hashim dan M Puveneswaran.

Semasa prosiding Mohd Azlan memohon wang jaminan yang ditetapkan terhadap tertuduh adalah bersesuaian, selain mengenakan syarat tambahan seperti menyerahkan dokumen perjalanan, melapor diri ke pejabat SPRM terdekat dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.

Peguam yang mewakili tertuduh memaklumkan bahawa tertuduh tidak akan melarikan diri dan bersedia memberi kerjasama sehingga kes selesai dibicarakan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 untuk kelima-lima pertuduhan dengan seorang penjamin, selain mengarahkan tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan, melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan tidak dibenarkan mengganggu saksi kes.

Kes akan disebut semula pada 29 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 12:39 PM