Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memperdagangkan dan melakukan kekerasan ke atas pembantu rumah wanita warga Kemboja, 24 Februari lalu.

Tertuduh Teoh Beng Sim, 56, dan anaknya, Teh Hooi Fung, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dua beranak itu secara bersama didakwa memperdagangkan wanita dikenali Soy Rom, 27, bagi maksud eksploitasi pengabdian dengan cara kekerasan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah di Bukit Mertajam 10.45 malam, 24 Februari lalu.

Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara bagi tempoh tidak kurang dari tiga tahun tetapi tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat manakala kedua-dua beranak itu diwakili peguam, Datuk Supramaniam Kasia Pillai.

TEO Beng Sim (kanan) dan Teh Hooi Fung hadir di Mahkamah Sesyen Butterworth. FOTO Danial Saad
TEO Beng Sim (kanan) dan Teh Hooi Fung hadir di Mahkamah Sesyen Butterworth. FOTO Danial Saad

Ketika prosiding kes, pihak pendakwa tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap mereka memandangkan kesalahan serius yang dilakukan.

Bagaimanapun, pihak pembelaan merayu supaya dua anak guamnya dibenarkan ikat jamin dengan alasan kedua-dua tertuduh memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan polis.

Noor Aini kemudian membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 19 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan dengan mengarahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap 15 hari bulan sehingga kes selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 11:43 AM