Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen bagi mendapatkan keuntungan berjumlah RM4,950, tahun lalu.

Tertuduh K Surinderan, 38 membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Surinderan didakwa dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Delivery Order Syarikat Sol N Sons Sdn Bhd bernilai RM4,950.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lebuh Sungai Pinang, Jelutong pada 10 Mac 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

 SURINDERAN hadir di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth atas pertuduhan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan. FOTO Danial Saad
SURINDERAN hadir di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth atas pertuduhan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan. FOTO Danial Saad

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abd Muntaqim Abdul Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam E Gunasegaran.

Semasa prosiding, Abd Muntaqim memohon mahkamah menetapkan wang ikat jamin yang bersesuaian, selain mengenakan syarat tambahan seperti menyerahkan dokumen perjalanan, melapor diri ke pejabat SPRM terdekat dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.

Peguam tertuduh bersetuju dengan semua syarat ditetapkan terhadap anak guamnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan mengarahkan tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan, selain diminta melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 25 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 3:09 PM