AZAM ketika sidang media selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah ke-2 di Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AZAM ketika sidang media selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah ke-2 di Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Putrajaya: Semua kes membabitkan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu akan disemak semula.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedang meneliti semua kenyataan dan keterangan daripada suspek termasuk pegawai patologi hospital di Johor yang turut ditahan berhubung kes rasuah.

"Kita akan teliti semua perkara berkaitan termasuk kenyataan yang diterima. Kita mahu tengok apakah kaitan dengan pihak yang memberi rasuah (bagi menyelesaikan kes dadah).

"Ia penting untuk siasatan salah laku yang dijalankan oleh pegawai dan anggota polis berkenaan. Jika ada kesalahan jenayah, maka kita akan lakukan perkara seterusnya," katanya selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali kedua, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menjalankan kerjasama dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Polis Johor mengesahkan seorang pegawai kanan dan dua anggotanya ditahan SPRM kerana disyaki terbabit isu rasuah berkaitan ujian saringan air kencing pesalah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 12:13 PM