GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Bau: Polis sedang memburu suspek yang melarikan diri selepas merempuh kenderaan anggota yang menjalankan tugas Op Lejang Khas di Jalan Bau-Krokong di sini, semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6.50 pagi ketika anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau mengekori sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, apabila hendak menahan kenderaan yang dipandu suspek, ia kemudian bertindak merempuh kenderaan anggota polis.

"Susulan itu, anggota polis terbabit melepaskan tembakan ke arah kenderaan itu bagi mempertahankan diri namun suspek berjaya meloloskan diri menuju ke aras Krokong," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, Mancha berkata hasil siasatan awal mendapati Toyota Land Cruiser berkenaan dilaporkan hilang di Daerah Kuching itu dijumpai ditinggalkan di sebuah jalan ladang kelapa sawit.

Justeru, Mancha meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan tampil menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Chew Cher Shin di talian 017-9682819.

"Pihak polis masih berusaha mengesan suspek yang melarikan diri dan orang ramai juga dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas," katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 11:46 AM