Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua lelaki maut, seorang parah dalam pergaduhan di atas sebuah tongkang yang sedang berlabuh di Muara Tabuan, di sini, awal pagi hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Mancha Ata berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung pergaduhan itu pada 2.31 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan itu dan membuat pemeriksaan di dalam tongkang terbabit.

"Pemeriksaan di bahagian dek juragan menemui dua lelaki terbaring tidak sedarkan diri.

"Pembantu pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kemudian mengesahkan kedua-dua lelaki tempatan itu sudah meninggal dunia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Mancha berkata, pemeriksaan mendapati beberapa kesan kecederaan akibat tetakan dengan senjata tajam pada tubuh kedua-dua mangsa berusia lingkungan 20-an itu dengan seorang daripadanya adalah juragan tongkang berkenaan.

MACHA menunjukkan senjata yang digunakan. FOTO Nadim Bokhari.
MACHA menunjukkan senjata yang digunakan. FOTO Nadim Bokhari.

Menurutnya, seorang lagi mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 50-an yang parah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

"Walaupun parah, namun keadaan mangsa kini stabil.

"Ketika kejadian itu, seramai tujuh orang berada di dalam tongkang berkenaan iaitu tiga warganegara, tiga warga India dan seorang Indonesia dengan semuanya adalah pekerja tongkang," katanya.

Mancha berkata, suspek utama, seorang lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun menyerah diri di Balai Polis Bintawa tidak lama selepas kejadian itu.

"Polis mendapat perintah reman suspek selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 23 Ogos ini bagi melengkapkan siasatan kes itu yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 4:36 PM