ANGGOTA tentera memeriksa lori yang ditinggalkan penjenayah dalam  pemeriksaan di Serikin, semalam.
ANGGOTA tentera memeriksa lori yang ditinggalkan penjenayah dalam pemeriksaan di Serikin, semalam.

Bau: Cubaan berani dua lelaki menyeberang sempadan negara untuk ke Kalimantan, Indonesia menggunakan lori curi tidak berjaya apabila ditahan dalam pemeriksaan di Serikin, di sini, semalam.

Dalam pemeriksaan jam 8.45 pagi itu, pegawai dan anggota dari Sub Unit Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) menahan lelaki berusia 48 tahun manakala rakannya melarikan diri.

Sumber berkata, anggota tentera yang membuat pemeriksaan pelik dengan gelagat mencurigakan dua lelaki yang menaiki lori Toyota Hiace.

Menurutnya, kenderaan itu ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Bagaimanapun, sebaik melihat anggota tentera, pemandu memberhentikan kenderaan dan kedua-dua lelaki itu keluar melarikan diri ke ladang sawit berhampiran.

“Seorang daripada lelaki itu ditangkap dalam ladang manakala seorang lagi dapat meloloskan diri,” katanya dalam kenyataannya, di sini, semalam.

Sumber itu berkata, pemeriksaan menemui beberapa peralatan curi kenderaan dalam lori itu, sejumlah mata wang tempatan dan Indonesia, kad pengenalan, lesen memandu dan telefon bimbit.

Katanya, pemeriksaan dengan polis mendapati lelaki ditahan adalah penjenayah dikehendaki polis kerana kes bunuh pada 2001 dan curi.

“Lori yang digunakan dicuri pagi tadi (semalam) di Stampin, Kuching dan dalam cubaan untuk dibawa ke Kalimantan, Indonesia.

“Lelaki terbabit diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 7:36 AM