Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor menyasarkan jualan sebanyak RM10 juta menerusi pameran MATTA Fair yang berlangsung tiga hari bermula hari ini.

Pengerusinya Kathryn Lee berkata pameran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC) di sini itu dijangka menarik 12,000 pengunjung.

Katanya, tiada bayaran dikenakan terhadap pengunjung untuk melihat pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan 45 pempamer.

"Tahun ini kita mendapat penyertaan besar dari Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), selain Sabah Tourism Board dan Unit Pelancongan Dewan Bandaray Kuala Lumpur (DBKL), Syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad dan Firefly selain Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MYBha).

"Sebanyak 111 ruang pameran disediakan di AICC bagi pameran MATTA kali ini, selain pelancongan domestik dan antarabangsa. Turut ditawarkan pakej umrah membabitkan agensi berdaftar.

"Pameran jualan pelancongan seperti ini sangat baik kepada industri pelancongan negara, dapat dilihat bahawa sektor ini kian pulih selepas pendemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran MATTA Fair yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar di AICC di sini, hari ini.

Jelas Kathryn, objektif pameran itu adalah untuk membolehkan pelawat dan pengguna menemui tawaran yang sangat menarik dan nilai wang berpatutan dalam semua produk dan perkhidmatan pelancongan yang ditawarkan oleh peserta pameran.

Katanya MATTA menggesa pengguna membeli pakej pelancongan melalui ejen pelancongan yang berlesen oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Seni (MOTAC).

"Dalam era moden, sikap membeli-belah dalam talian tanpa mengetahui latar belakang sejarah syarikat pelancongan juga berisiko kepada penipuan.

"Banyak berita yang sangat menyedihkan dimana sejumlah besar wang hasil titik peluh pengguna telah dicuri oleh penipu dalam talian yang menawarkan harga yang sangat rendah," katanya pameran kali ini menawarkan pakej pelancongan domestik serendah RM350.

Pengerusi MATTA Fair Johor, Kathryn Lee (dua dari kiri) bersama Raven Kumar (tiga dari kiri) pada perasmian pameran MATTA Fair Johor di AICC, hari ini. FOTO OMAR AHMAD
Pengerusi MATTA Fair Johor, Kathryn Lee (dua dari kiri) bersama Raven Kumar (tiga dari kiri) pada perasmian pameran MATTA Fair Johor di AICC, hari ini. FOTO OMAR AHMAD

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 6:01 PM