THOO (tengah) bersama Pengarah Jualan dan Pemasaran Legoland Malaysia, Thila Munusamy pada sidang akhbar MATTA Fair, semalam. FOTO Amiruddin Sahib
THOO (tengah) bersama Pengarah Jualan dan Pemasaran Legoland Malaysia, Thila Munusamy pada sidang akhbar MATTA Fair, semalam. FOTO Amiruddin Sahib
Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) optimis perkembangan pesat taman tema di negara ini akan menarik kehadiran ramai pelancong domestik dan luar negara pada masa depan.

Naib Presiden Inbound dan Domestiknya, Jimmy Thoo berkata, kewujudan banyak taman tema dan pelbagai tarikan menjadi pemacu utama kepada industri pelancongan Malaysia.

“Jika kita lihat, industri taman tema semakin meningkat sejak kebelakangan ini bukan saja di Lembah Klang, malah di luar Kuala Lumpur seperti di utara dan Johor,” katanya pada sidang media MATTA bersama Desaru Coast dan Legoland Malaysia di sini, semalam.

Berdasarkan statistik Tourism Malaysia, negara mencatatkan kunjungan 28.7 peratus pelancong ke taman tema dalam tempoh Januari hingga September tahun lalu dengan Lembah Klang dan Johor menjadi destinasi utama di negara ini.

Beliau berkata, kewujudan banyak taman tema pada masa ini dianggap perkembangan sihat dan bukan persaingan kerana ia boleh menarik pelancong untuk berkunjung di negara ini.

“Ia bukan saja meningkatkan aktiviti pelancongan dari luar negara ke Malaysia, malah pelancongan domestik kerana wujud banyak tempat menarik untuk dilawati,” katanya.

Sementara itu, MATTA mengumumkan Desaru Coast dan Legoland Malaysia sebagai Taman Tema Kesukaan Malaysia bagi penganjuran Pameran Matta (MATTA Fair) yang akan berlangsung pada 15 hingga 17 Mac 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Desaru Coast menyertai Taman Tema Kesukaan Malaysia di MATTA Fair buat kali ketiga manakala Legoland kali keenam.

Melalui pameran itu, Desaru Coast menawarkan jualan tiket eksklusif bagi tarikannya iaitu Desaru Coast Adventure Waterpark dan Hard Rock Hotel Desaru Coast manakala Legoland Malaysia memberi tawaran istimewa dan menarik bagi pengunjung sepanjang tiga hari pameran terbabit.

MATTA Fair March 2019 bakal menawarkan pakej percutian tempatan dan antarabangsa daripada lebih 268 syarikat pelancongan dan ia dibuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 9 malam dengan bayaran masuk RM4 seorang serta percuma bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 8:40 AM