Liow Cai Tung (tengah) selepas perasmian MATTA Johor hari ini. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Liow Cai Tung (tengah) selepas perasmian MATTA Johor hari ini. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


LEBIH 12,000 pengunjung dijangka mengunjungi Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor yang diadakan di Capital City Expo Hall, Tampoi, selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad ini.

Pameran yang menawarkan pelbagai pakej pelancongan dalam dan luar negara itu dijangka membawa pulangan jualan sehingga RM12 juta membabitkan 52 syarikat pelancongan, hotel dan taman tema.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung berkata, pameran itu menawarkan 150 gerai jualan sekali gus merancakkan industri pelancongan negeri.

“Kerajaan negeri menggalakkan inisiatif seumpama ini dan menyokong komitmen yang ditonjolkan semua pemain utama industri pelancongan khususnya usaha membawa pelancong masuk ke negara ini.

“Setiap daerah di Johor ada potensi pelancongan tersendiri. Selain pakej memenuhi permintaan pelancong, pemain industri perlu seiring dengan transformasi dalam urusniaga bagi memudahkan pelancong mengakses tempat menarik di Johor.

“Kerjasama strategik semua agensi pelancongan ini dilihat dapat membawa sektor ini ke peringkat global yang bukan saja tertumpu kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa malah menggalakkan mekanisme perniagaan mengikut trend perubahan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan MATTA Johor.

Turut hadir Pengerusi MATTA Johor, Kathryn Lee.

MATTA Johor turut menawarkan aktiviti cabutan bertuah termasuk peluang memenangi baucar pelancongan bernilai RM88,888 bagi setiap pembelian RM500 ke atas sepanjang pameran berlangsung, selain tiket penerbangan Malaysia Airlines ke Bangkok, Thailand, Kochi, India dan Kuala Lumpur.

Bayaran masuk adalah RM3 bagi dewasa dan percuma untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, pameran dibuka jam 10.30 pagi hingga 9.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 9:23 PM