TAN (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Phua Tai Neng (empat dari kanan) dan Arved (empat dari kiri) serta kakitangan MATTA dan Malaysia Airlines pada majlis pengumuman Malaysia Airlines sebagai penerbangan rasmi MATTA Fair, semalam.
TAN (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Phua Tai Neng (empat dari kanan) dan Arved (empat dari kiri) serta kakitangan MATTA dan Malaysia Airlines pada majlis pengumuman Malaysia Airlines sebagai penerbangan rasmi MATTA Fair, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengumumkan Malaysia Airlines sebagai penerbangan rasmi bagi MATTA Fair yang akan berlangsung dari 16 hingga 18 Mac ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ini adalah kali kedua Malaysia Airlines dipilih sebagai penerbangan rasmi MATTA Fair selepas menjadi rakan penerbangan bagi Matta Fair pada 2016.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, pemilihan Malaysia Airlines itu dilihat membuka peluang untuk kerjasama bagi menawarkan tambang menarik ke pasaran United Kingdom (UK), Asia dan ASEAN.

Menurutnya, ia juga sebagai nilai tambah kepada pakej percutian pengguna melalui sambungan udara termasuk untuk mempromosikan destinasi dalam negara bagi meningkatkan ketibaan pelancong.

“Kami yakin penyertaan syarikat penerbangan ini akan menjadi daya penarik kepada orang ramai untuk berkunjung ke MATTA Fair bagi menikmati promosi dan pakej perjalanan mereka yang tidak boleh dilepaskan pada harga menarik,” katanya pada majlis pengumuman terbabit di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Malaysia Airlines, Arved Nikolaus Von Zur Muehlen berkata, pihaknya bangga kerana dipilih sebagai penerbangan rasmi bagi MATTA Fair dan akan memberi kerjasama terbaik dalam memastikan kejayaan acara itu.

“Kami juga yakin Malaysia Airlines melalui kuasa pemasaran dan pangkalan datanya akan membantu MATTA mengaktifkan pengguna khususnya dari aspek cara berkomunikasi dengan pelanggan berpotensi,” katanya.

Malaysia Airlines akan memberikan dua tiket penerbangan kelas perniagaan ke London dan Narita serta empat tiket kelas Ekonomi ke Nanjing, Chongqing, Surabaya dan Phnom Penh sebagai hadiah bagi peraduan yang dijalankan pada acara terbabit nanti.

MATTA Fair akan dibuka kepada pelawat bermula jam 10 pagi hingga 9 malam dengan tiket masuk RM4 bagi dewasa dan percuma kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 8:43 AM