PENGUNJUNG melihat promosi yang ditawarkan ejen pelancongan. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
PENGUNJUNG melihat promosi yang ditawarkan ejen pelancongan. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Rudy Syareme Sheriffudin


PERSATUAN Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yakin sasaran RM20 juta hasil jualan pakej percutian dan lain-lain tercapai sempena MATTA Fair 2017 di Pusat Konvensyen Straits Quay, Georgetown mulai hari ini hingga Ahad.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, pihaknya yakin dengan pencapaian itu berikutan MATTA Fair mendapat sambutan cukup memberangsangkan sejak diadakan di seluruh negara beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, permintaan tinggi daripada pelanggan terutama rakyat Pulau Pinang termasuk agen pelancongan yang menyediakan pakej percutian sama ada dalam atau luar negeri pada harga cukup istimewa berjaya menarik kehadiran pengunjung datang ke MATTA Fair 2017.

Katanya, sejak diadakan di negeri ini, sambutan diterima amat memberangsangkan apabila lebih 17,000 pengunjung hadir membabitkan nilai jualan RM15 juta diperolehi pada tahun lalu dan tahun ini nilai jualan RM20 juta disasarkan dengan lebih 20,000 pengunjung dijangka akan hadir.

"Tahun ini pelbagai keistimewaan diberikan khas buat pengunjung antaranya hadiah berupa tiket penerbangan, baucer hotel, tiket taman tema ditawarkan kepada orang ramai oleh 133 agensi pelancongan domestik dan antarabangsa yang turut serta dalam MATTA Fair 2017.

"Lebih menarik lagi pakej pelancongan di China, Jepun, Hong Kong, Eropah dan Alaska antara yang menjadi tumpuan selain pakej sekitar Asia dan Asia Tenggara seperti Bali, Seoul dan Bangkok, Krabi, Indonesia serta lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perlancaran dan Perasmian MATTA 2017 oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Pusat Konvensyen Straits Quay.

Katanya, industri pelancongan di Pulau Pinang sememanganya mendapat pengiktirafan di peringkat global apabila turut tersenarai antara 17 tempat menarik untuk dikunjungi pada tahun ini oleh CNN dan 10 bandar terbaik dunia oleh Lonely Planet.

"Kita yakin kepelbagaian pakej percutian dan lain-lain yang ditawarkan mampu menarik lebih ramai kedatangan pelancong selain menambah pendapatan jualan agen pelancongan serta peluang yang lain dalam mempertingkatkan industri pelancongan," katanya.

Sementara itu, setiap pengunjung yang membuat pembelian minimum RM200 melalui peraduan Buyer's MATTA berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai lebih RM20,000 termasuk tambah nilai MPay MATTA Debit Mastercards bernilai RM1,000 menjadi rebutan.

"MATTA 2017 turut memperkenalkan sistem automatik melalui aplikasi khas disediakan buat pengunjung selain turut memberi ruang dan peluang kepada mereka membuat pendaftaran dengan lebih cepat, pantas dan mudah.

"Selain itu, pakej umrah dan haji ditawarkan melalui lima agensi pelancongan yang sah turut dijangka mendapat sambutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 12:51 AM