AMY Search
AMY Search
HM Digital

Impian Amy Search, 59, untuk menjejakkan kaki di Annapurna Base Camp (ABC), Nepal dimulakan dengan latihan pertama bersama kumpulan seramai 19 orang di Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 18 dan 19 September lalu.

Latihan dikendalikan Summit Attack Resources (SAR) yang sememangnya berpengalaman serta aktif membawa pendaki mendaki gunung di dalam dan luar negara itu turut membabitkan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bharu.

Amy berkata, pada hari pertama latihan dia sangat teruja.

“Saya juga melihat wajah pendaki yang lain turut teruja. Terima kasih kepada pasukan SAR yang memberi taklimat pendakian dan kelengkapan serta jadual latihan yang sesuai.

“Pengalaman mereka di sana amat penting buat saya dan pasukan kami dalam membuat persediaan mental dan fizikal,” katanya.

Amy berkata, dia juga bersyukur kerana mendapat sokongan isteri dan anak yang sering memberi galakan kepadanya untuk mencuba sesuatu yang baru.

“Insya-Allah, semoga perjalanan saya ke sana dengan peminat dipermudahkan,” katanya yang pernah mendaki Gunung Kinabalu selain aktif dalam sukan lasak seperti scuba, berbasikal, sky diving dan berlari.

Walaupun kini sibuk mempromosikan album terbaru Search berjudul Katharsis dan Konsert Gegaran, Sabtu ini, Amy turut meluangkan masa mengikuti latihan bersama pendaki lain bagi memastikan staminanya sentiasa berada di tahap terbaik.

Dalam pada itu, Pengarah SAR, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa berkata, antara aktiviti yang dilalui Amy dan pendaki lain semasa latihan itu ialah taklimat ekspedisi altitude tinggi, ujian kesihatan, ujian kecergasan IPPT, berbasikal dan mendaki Bukit Kutu di Kuala Kubu Bharu.

“Taklimat dan latihan ini penting kepada semua pendaki sebagai persediaan sebelum berangkat ke sana. Kuala Kubu Bharu juga dipilih kerana ia mempunyai pelbagai kemudahan dan tempat bersesuaian dengan modul latihan yang dirancangkan.

Ekspedisi Annapurna Base Camp bersama Amy Search 2018 ini dilaksanakan pada April tahun depan.

Seramai 30 pendaki yang terpilih mendaki bersama Amy sehingga ke ABC pada ketinggian 4,130 meter itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 9:16 AM