PENDAKI memanjat batu dinding untuk sampai ke puncak.
PENDAKI memanjat batu dinding untuk sampai ke puncak.
SEMUA pendaki bergambar kenangan ketika di puncak bukit Pine Tree.
SEMUA pendaki bergambar kenangan ketika di puncak bukit Pine Tree.
Husain Jahit


SELEPAS mengharungi laluan berliku dengan bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan semak samun, akhirnya sekumpulan 50 pendaki dari pelbagai agensi kerajaan dan media berjaya menawan puncak bukit Pine Tree di Bukit Fraser, Pahang baru-baru ini.

Semua pendaki menyertai program dua hari satu malam dinamakan Program Konservasi Denai Pendakian Pine Tree Hill Bagi Kajian dan Simulasi Menyelamat Altitude Tinggi anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia itu berjaya sampai ke puncak setinggi 1,480 meter dalam tempoh empat jam.

Wakil agensi yang terbabit ialah dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Persatuan Isteri dan Pegawai Wanita Bomba dan Penyelamat Malaysia dan media.

Semua pendaki sebenarnya berada dalam siri latihan sebagai persediaan untuk Ekspedisi Simulasi Menyelamat Di Altitud Tinggi@Mardi Himal Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

Ekspedisi ke kem pangkalan Mardi Himal di Nepal itu dijadualkan pada 7 hingga 17 Ogos depan.

Pendakian bermula jam 8.30 pagi di pintu masuk Pine Tree yang mana semua peserta masing-masing dikehendaki membawa dua anak pokok untuk ditanam di lokasi bersesuaian sepanjang perjalanan naik.

Sebanyak 100 anak benih pokok mentega pipit dan balau berjaya ditanam oleh peserta.

PENDAKI menunggu giliran untuk memanjat batu dinding menggunakan tali.
PENDAKI menunggu giliran untuk memanjat batu dinding menggunakan tali.

Pada masa sama, beberapa pendaki dikehendaki memikul tangga aluminium dan tali pengikat untuk dipasang di batu tebing iaitu kira-kira 20 meter sebelum sampai puncak yang berbatu serta tegak menghampiri 90 darjah.

Selepas tangga dipasang, pendaki dengan mudah memanjat ke puncak berbanding sebelum ini hanya menggunakan tali.

Trek sepanjang 7.5 kilometer itu agak mencabar mental dan fizikal kerana laluannya yang turun serta naik dalam bahasa 'orang gunung' biasa dipanggil trek 'dragon back.'

Seawal perjalanan sudah berjumpa tangga menurun agak curam dan dalam yang kami jangka akan 'kena' apabila balik nanti. Kaki sudah penat, kena pula naik tangga. Begitu hingga akhir perjalanan yang turun naik bak kata orang 'minta nyawalah' juga dibuatnya.

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia turut menghantar peserta dari unit Storm atau Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia.
JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia turut menghantar peserta dari unit Storm atau Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia.

Pendaki berhenti berehat di beberapa lokasi yang sesuai dan kebanyakan mereka berhenti di Gua Akar iaitu kira-kira selepas satu jam setengah perjalanan. Ada yang berehat sambil minum kopi dan makan bekalan ringan yang dibawa termasuk roti, kurma, biskut serta coklat.

Sebelum sampai ke puncak, beberapa pendaki yang membawa tangga aluminium tadi diminta bergerak dahulu kerana ia akan dipasang untuk kegunaan pendaki lain.

Oleh kerana ada kalangan pendaki adalah anggota bomba, maka kerja memasang dan mengikat tangga dilakukan mereka kerana mereka yang lebih mahir. Pendaki lain pula akan berasa lebih yakin dengan kekuatan tangga berkenaan untuk dipanjat.

SEORANG pendaki menanam anak benih pokok balau sambil disaksikan Pengarah Forest Eco-Park, Mohd Yussainy Md Yusop (berdiri kiri) dan Penolong Penguasa Bomba Selangor, Malik Ridwan Pabagari (dua dari kiri).
SEORANG pendaki menanam anak benih pokok balau sambil disaksikan Pengarah Forest Eco-Park, Mohd Yussainy Md Yusop (berdiri kiri) dan Penolong Penguasa Bomba Selangor, Malik Ridwan Pabagari (dua dari kiri).

Tidak lama peserta berada di puncak iaitu kira-kira satu jam sahaja apabila semua pendaki sudah sampai, berehat, makan dan minum serta bergambar, mereka memulakan semula perjalanan turun.

Bermula jam 3.30 petang pendaki beransur-ansur keluar dari bukit Pine Tree dan pendaki terakhir berjaya keluar ialah kira-kira jam 5.30 petang.

MENYUSURI laluan sempit sambil membawa tangga.
MENYUSURI laluan sempit sambil membawa tangga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 6:20 AM