Muhammad Yusri Muzamir


Georgetown: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan siri pendedahan mengenai kecurian unsur nadir bumi (REE) hanya bertujuan untuk mewujudkan naratif dan persepsi ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sebaliknya, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan beliau memiliki bukti berhubung insiden di Bukit Enggang, Sik di Kedah yang kini sedang disiasat beberapa pihak berkuasa.

Malah, beliau menegaskan tidak perlu meyakinkan mana-mana pihak berhubung pemilikan bukti bagi kes terbabit, sebaliknya meminta Muhammad Sanusi untuk menunggu proses pendakwaan kes terbabit dibuat di mahkamah selepas siasatan berkaitan insiden itu dimuktamadkan pihak berkuasa.

"(Sebahagiannya) sudah disiasat dan sudah ada sabitan. Ia sangat jelas, takkan mahu buat penafian lagi? Ini penyakit 'denial sindrom' daripada individu yang semakin terhimpit apabila saya mendedahkan pelbagai bukti saban hari.

"Isunya kecurian REE di Bukit Enggang, Sik di Kedah, membabitkan beberapa nama yang kebetulan membabitkan warga asing.

"Kaedah mereka (suspek) masuk (ke Malaysia) pula, Muhammad Sanusi menulis kepada Kementerian Dalam Negeri supaya dapat pas lawatan iktisas dan majikan mereka ialah Perbadanan Menteri Besar," katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Beliau mengulas gesaan Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) supaya Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri mengemukakan bukti mengenai isu kecurian REE ke mahkamah, bukannya di pentas ceramah politik.

Muhammad Sanusi juga dilapor menyifatkan tindakan Setiausaha Agung Pakatan PKR itu hanya untuk mewujudkan naratif serta persepsi terhadap beliau ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, insiden kecurian REE itu sedang disiasat beberapa pihak berkuasa, termasuk Jabatan Mineral dan Galian (JMG) dengan sebahagian kertas siasatan sudah dibawa ke peringkat penasihat undang-undang kementerian berkaitan.

Selain itu, katanya, siasatan kes itu sedang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan meminta Muhammad Sanusi menunggu dapatan keseluruhan proses berkenaan.

"Jabatan Perhutanan juga sudah selesai siasat dan ada sabitan (bagi kesalahan) menceroboh hutan simpan. Hanya Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah sahaja belum yang pengarahnya kebetulan kawan baik Muhammad Sanusi, beluk memulakan siasatan kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 10:41 AM