Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. FOTO Arkib NSTP
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Yusri Muzamir


Permatang Pauh: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail komited meneruskan siri pendedahan membabitkan isu unsur nadir bumi (REE) walaupun sudah menerima surat tuntutan (LOD) daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) berkata, komitmen itu dimuktamadkan selepas mengambil kira kegagalan Muhammad Sanusi menjawab beberapa persoalan berbangkit berhubung isu berkenaan, sekali gus menimbulkan kemusykilan.

"Misalnya saya kata dua personaliti, kebetulan adalah warga China yang masuk ke sini (Malaysia) melalui fasilitasi diberikan menteri besar kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu.

"Ada suratnya serta hasil surat berkenaan, kedua-dua orang ini masuk dan rekodnya adalah menjawat jawatan yang majikannya Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah. Dia (Muhammad Sanusi) kena jawab ini dulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri ceramah 'Pentas Anak Muda N10 Seberang Jaya' yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong di sini, malam tadi.

Sementara itu, Saifuddin Nasution menafikan dakwaan beliau menerusi platform media sosialnya secara sengaja mengungkit kes berkaitan kecurian REE yang sudah disabitkan kesalahan.

"Ia tak betul, yang dah jatuh hukum bukan bagi kes tangkapan baharu. Jatuh hukum macam mana kalau Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Kedah tak siasat? Jatuh hukum apa?

"Insiden yang dijatuhkan hukuman itu adalah insiden 26 September 2022 (membabitkan) penahanan kenderaan bersama 180 guni REE. Ini memang sudah dikenakan kompaun.

"Namun, tangkapan berikuynya dan penahanan terbaru oleh polis serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) tak siasat pun. Justeru, tak selesai lagi, ini baru permulaan. Banyak lagi pendedahan akan saya buat," kata Setiausaha Agung PKR itu.

Terdahulu, Saifuddin Nasution ketika berucap di program berkenaan, menggesa PAS mengemukakan dalil al-Quran dan hadis yang melarang parti Islam itu daripada menjalinkan kerjasama dengan DAP.

Ini kerana, katanya, pendirian terkini PAS itu didakwa bertentangan dengan ketetapan berhubung kerjasama bersama DAP selama 14 tahun, antara 1999 hingga 2013.

"Apa dalil ketika itu yang membenarkan PAS dan DAP berkawan? Ayat mana? Hadis mana sirah mana yang membolehkan PAS, Islam berkawan (dengan DAP antara 1999 hingga 2013)? Kenapa dulu boleh, sekarang tidak?

"Kalau ia (kerjasama PAS dan DAP berpandukan) ajaran agama, percayalah ia tak akan berubah. Contohnya, zaman nabi, solat subuh dua rakaat, diikuti maghrib tiga rakaat serta isyak empat rakaat dan kini ia masih kekal sama.

"Zaman nabi, Ramadan kita berpuasa, zaman sekarang pun kita berpuasa. Itu agama, tak berubah, tetapi kalau namanya memilih kawan politik, terasnya mesti sama iaitu duduk atas dasar keadilan, saling menghormati dan bersama mahu menolong rakyat.

"Selain itu, banteras kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan serta mahu membina sifat mahmudah dan menolak sifat mazmumah. Inilah asas membolehkan kita duduk bersama, walaupun nama dia DAP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 1:13 AM