GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Pilah: Peluang calon di kerusi 'panas' Dewan Undangan Negeri (Dun) Juasseh masing-masing dilihat seimbang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung 12 Ogos ini.

Menerusi tinjauan Harian Metro, pengundi di Dun Juasseh dilihat berbelah bahagi apabila Barisan Nasional (BN) menampilkan Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid, manakala Datuk Eddin Syazlee Shith sebagai wakil Perikatan Nasional (PN).

Pengundi, Mohd Azmi Zamri, 47, berkata, tindakan BN mempertaruhkan isteri bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sedikit sebanyak memainkan peranan kepada pengundi untuk memilihnya.

Katanya, ini disebabkan Mohd Isa telah membawa pembangunan kepada negeri itu semasa menjadi Menteri Besar sebelum ini.

"Serba sedikit itu ada. Sebab dia bekas Menteri Besar. Orang akan ingat jasa-jasanya," katanya ketika ditemui Harian Metro hari ini.

Bagi kerusi Dun Juassseh, ia bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Eddin Syazlee dan Bibi Sharliza.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, dia melihat peluang calon PN iaitu Eddin Syazlee untuk menang itu sedikit sukar di Dun Juasseh.

Ini kerana katanya, bekas Timbalan Menteri Kerja Raya itu kini berada di kem yang berlainan berbanding sebelum ini.

"Saya ingat sukar untuk dia menang. Dulu semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dia menang di kerusi Parlimen Kuala Pilah dengan majoriti 200 undi sahaja. Bukan banyak pun.

"Semasa PRU15 sudah terbukti dia kalah dengan lebih 6,000 undi majoriti," katanya.

Seorang lagi pengundi, Mashitah Mahyuddin, 46, pula berpandangan, pengaruh Mohd Isa tidak memainkan peranan di Dun Juasseh apabila BN meletakkan isterinya, Bibi Sharliza.

"Pengaruh Mohd Isa itu kurang memainkan peranan di sini. Kita tak berapa kenal (isteri) dia. Kalau ikutkan dia (pengaruh Isa) lebih kepada Pilah," katanya.

Mashitah yang telah tinggal di Dun Juasseh selama 20 tahun berkata, calon PN iaitu Eddin Syazlee dilihat lebih dikenali.

"Berbanding dengan Bibi Sharliza, Eddin Syazlee lebih dikenali di sini. Kita kenal Eddin Syazlee. Selalu nampak dan dengar (orang bercerita tentangnya)," katanya.

Dalam pada itu, seorang pengundi Dun Juasseh, Nur Najwani Mohd Ismail, 26, meminta mana-mana Ahli Dewan Undangan (Adun) Juasseh yang dipilih nanti untuk memperjuangkan bagi mewujudkan kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan ini.

"ATM tak ada di sini. Kalau boleh kita nak satu mesin ATM diletakkan di sini. Ini kerana paling dekat mesin ATM adalah di Dun Pilah.

"Di Dun Juasseh langsung tiada (mesin ATM). Itu masalah juga sebab kalau boleh kita nak sebuah mesin ATM yang dekat.

"Tak semua kedai di sini boleh buat pembayaran tanpa tunai dan di sini juga banyak taman perumahan yang telah dibina," katanya.

Dia yang bekerja di sektor swasta turut meminta agar dibina sebuah pasar raya.

"Econsave tiada, Zeemart pun tiada. Zeemart yang paling dekat di Dun Bahau. Yang ada hanyalah Speedmart sahaja.

"Speedmart tak ada jual barang basah. Kalau kita nak beli barang basah kena ke Pilah atau Bahau. Selalunya kita akan pergi ke Bahau sebab murah sedikit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 5:52 PM