EDDIN Syazlee. FOTO Arkib NSTP
EDDIN Syazlee. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Pilah: Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Eddin Syazlee Shith menyifatkan beliau tidak pernah terfikir untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya gabungan Perikatan Nasional (PN) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Calon bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Juasseh itu berkata, perkara tersebut bukan keutamaannya buat masa ini, sebaliknya apa yang perlu adalah mereka melepasi halangan pertama.

"Halangan pertama perlu dilepasi adalah memastikan Dun yang ditandingi oleh PN dimenangi dahulu. Soal siapa Menteri Besar dan sebagainya, kita serahkan kepada pucuk pimpinan.

"Saya ingat (kita) perlu berlapang dada. Mungkin ada kriteria yang perlu dipenuhi oleh seseorang calon itu dipilih sebagai Menteri Besar.

"Tapi itu bukan fokus yang penting. Sekarang ini fokus kita tertumpu untuk menangkan calon-calon PN," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Eddin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, daripada 36 kerusi yang ditandingi dalam PRN Negeri Sembilan, pihaknya menyasarkan untuk mendapat 19 kerusi.

"Sasaran yang realistik saya ingat 19 itu boleh dicapai kalau berusaha bersungguh-sungguh. Dalam beberapa siri kempen yang ada hari ini, sejujurnya saya melihat sambutan agak memberansangkan.

"Sebab di enam negeri ini sudah ada gelombang yang amat besar. Terpulanglah kepada rakyat di Negeri Sembilan kalau mereka nak sambut gelombang ini," katanya.

Menyentuh mengenai lawannya, Eddin menganggap dirinya sebagai 'underdog' berbanding Ketua Wanita Umno Negeri Sembilan Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid.

Katanya, ini disebabkan Bibi Sharliza merupakan nama besar dan lebih 'senior' berbanding dirinya selain beliau merupakan isteri bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

"Juasseh ini memang terkenal sebagai kubu kuat Umno. Apapun kalau jentera PN di Juasseh ini boleh memberikan kerjasama, rapatkan saf pimpinan, bertolak ansur dan sanggup berkorban bagi menghadapi PRN kali ini, insya-Allah tak mustahil kita mencapai kejayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 12:29 PM