BIBI Sharliza. FOTO Arkib NSTP
BIBI Sharliza. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Seremban: Kes pertuduhan rasuah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di mahkamah tidak akan memberi kesan kepada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos ini.

Perkara itu ditegaskan oleh isteri Mohd Isa, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid serta anaknya Mohd Najib yang masing-masing bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Juasseh dan Bagan Pinang.

Bibi Sharliza berkata, kes pertuduhan rasuah itu bukan membabitkannya sebaliknya adalah Mohd Isa.

"Bukan saya, (tetapi) Tan Sri. Kenapa nak (beri) kesan pada kempen pula? Kalau Tan Sri calon betullah (beri kesan)," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Warisan Calon BN di Wisma Umno di sini hari ini.

Bibi Sharliza yang bakal berhadapan Datuk Eddin Syazlee Shith di Juasseh turut memberi peringatan kepada bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu supaya tidak menggunakan isu peribadi sebagai bahan kempen menyerangnya.

"Anda nak kempen, janganlah gunakan perkara peribadi untuk menyerang saya. Saya juga ada perkara peribadi untuk menyerang anda kalau kita nak bercakap pasal individu.

"Dia (Eddin) pernah memegang (jawatan) sebagai Ahli Parlimen Kuala Pilah dulu, kita pun tahu prestasi dia bagaimana. Jadi lebih baik anda tak bercakap tentang peribadi.

"Lebih baik anda bercakap tentang pembangunan, apa yang anda mahu buat kalau anda mahu menjadi wakil rakyat Dun Juasseh," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Najib turut sependapat bahawa pengundi atau masyarakat bijak menilai siapa yang layak untuk mewakili mereka dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Kes itu saya tak boleh nak sentuh sebab itu urusan mahkamah, jadi kita serahkan kepada mahkamah.

"Saya yakin dan percaya dengan izin Allah, Insya-Allah pengundi saya majoritinya akan memilih BN untuk mewakili mereka dalam PRN akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 2:46 PM