Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Pesara Pengurus Teknologi Maklumat (IT) kerugian lebih RM1.8 juta selepas terpedaya dengan penipuan tawaran kerja sambilan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, wanita berusia 62 tahun membuat laporan polis di Petaling Jaya selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan.

Menurutnya, pada bulan Jun lalu, sewaktu berada di rumah, mangsa berminat dengan tawaran kerja sambilan di telegram yang menjanjikan pulangan komisen sebanyak 30 peratus.

"Suspek kemudiannya menawarkan kepada mangsa untuk menyertai kerja sambilan melalui laman sesawangbagi penugasan pembelian mata wang krypto.

"Pada permulaan tugasan pertama dan kedua, mangsa mendapat pulangan seperti yang dijanjikan.

"Bagi tugasan berikutnya bermula dari 13 Jun sehingga 27 Julai lalu, mangsa melakukan 110 kali pindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun bank berbeza yang diberikan namun tidak menerima pulangan komisen yang dijanjikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata, keseluruhan wang yang dipindahkan berjumlah RM1,835,201 di mana mangsa menyedari ditipu selepas suspek masih meminta bayaran untuk melengkapkan tugasan itu.

"Kajian pihak polis kontinjen Selangor menunjukkan terdapat peningkatan ketara laporan polis bagi kes penipuan tawaran kerja sambilan secara dalam talian (on-line Job Scam) yang dibuat oleh mangsa.

"Bagi tempoh Januari hingga Julai 2022 hanya terdapat 38 laporan polis berkaitan kes itu yang membawa kepada jumlah kerugian RM660,127.63 berbanding 215 laporan polis yang membawa kerugian RM16,467,056.53 bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini iaitu peningkatan hampir 82.3 peratus," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan kerja sambilan yang ditawarkan secara dalam talian melalui media sosial yang kononnya menawarkan pulangan komisen yang besar dalam masa yang singkat.

"Orang ramai juga diingatkanmembuat semakan terlebih dahulu maklumat berkenaan individu atau syarikat sebelum menerima sesuatu tawaran kerja sambilan secara dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 6:36 PM