GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Aizat Sharif


Kangar: Dua individu termasuk seorang tukang cat kerugian RM47,324 selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan sambilan yang diiklankan menerusi media sosial dalam dua kes berasingan di Kangar dan Arau, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Negeri Perlis, Superitendan Wan Aeidil Wan Abdullah berkata, dalam kejadian pertama di Arau pada 7 Mei lalu pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang bekerja sebagai tukang cat.

"Mangsa mendakwa kerugian wang simpanannya dan sebahagian wang pinjaman daripada rakannya yang berjumlah keseluruhan RM39,196 selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan sambilan yang diiklankan di laman sosial Facebook.

"Dalam dalam kejadian berasingan yang berlaku sehari sebelum itu di Kangar, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun turut menjadi mangsa penipuan yang sama selepas kerugian sebanyak RM8,128," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati, modus operandi sindiket ini adalah dengan mengiklankan tawaran kerja melalui aplikasi Whatsapp, Instagram atau Facebook dan mangsa yang berminat akan menekan pautan yang diberikan.

"Pautan itu menggunakan logo platform membeli-belah dalam talian (e-dagang) bagi menarik mangsa dengan tawaran kerja itu sebelum diarahkan untuk membeli barangan di platform e-dagang berkenaan.

"Mangsa kemudian dijanjikan bayaran komisen berserta pulangan bayaran bagi pembelian yang dibuat itu, namun selepas pembelian dibuat, bayaran komisyen berserta pulangan yang dijanjikan tidak diberikan," katanya.

Polis kini giat mengesan suspek serta siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berhubung kedua-dua kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 4:49 PM