SUSPEK (dua kanan) direman bagi bantu siasatan kes tipu tawarkan 21 nombor pendaftaran 'fancy'  tidak wujud terhadap mangsa. FOTO Ahmad Ismail
SUSPEK (dua kanan) direman bagi bantu siasatan kes tipu tawarkan 21 nombor pendaftaran 'fancy' tidak wujud terhadap mangsa. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

Segamat: Menawarkan nombor pendaftaran 'fancy' pada harga mencecah ratusan ribu ringgit menjadi taktik seorang individu di daerah ini untuk memperdayakan mangsa.

Difahamkan, suspek melakukan penipuan itu sejak Mei 2022 lalu dan memperdaya seorang mangsa dengan nilai kerugian keseluruhan RM210,000.

Difahamkan suspek bertemu mangsa sebelum mendakwa kononnya hanya mengena caj bayaran amat rendah sekiranya mahu mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan dua angka atau berkembar sedangkan ia tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, polis mengesan kegiatan suspek berumur 29 tahun itu sebelum sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Segamat menahannya di bandar Segamat jam 12.30 tengah hari semalam.

"Mangsa buat laporan polis pada pertengahan Julai lalu selepas menyedari ditipu RM210,000.

"Hasil serbuan, polis berjaya menahan suspek yang juga peniaga motosikal serta merampas pelbagai dokumen transaksi pembayaran bank mengandungi maklumat mangsa.

"Hasil siasatan awal didapati mangsa juga kenalannya ditawarkan 21 pelbagai nombor pendaftaran 'fancy' tidak wujud," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa memasukkan wang secara berperingkat ke akaun bank suspek sejak Mei 2022 lalu kerana mahukan nombor pendaftaran 'fancy' itu.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada individu lain turut menjadi mangsa penipuan," katanya.

Menurutnya, suspek direman empat hari bermula hari ini.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 3:29 PM