DUA laras bekakok dan dua laras senapang angin buatan sendiri yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
DUA laras bekakok dan dua laras senapang angin buatan sendiri yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
Melvin Joni

Sarikei: Akibat berang cinta ditolak, lelaki bertindak menembak sebuah pacuan empat roda dengan senjata api dipercayai untuk membalas dendam.

Ketua Polis Daerah Julau Deputi Superintendan Andam Sulin berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira 10.45 malam pada 23 Ogos lalu berhubung bahagian pemandu kenderaan berkenaan ditembak.

Menurutnya, ketika kejadian, pemandu kenderaan itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Pinang, Jalan Wak Buku Pakan, Julau, di sini.

Katanya, berdasarkan maklumat, sepasukan anggota polis berjaya menahan suspek berusia 20 tahun kira-kira 5.30 petang pada Khamis lalu.

"Siasatan awal mendapati motif suspek bertindak sedemikian kerana perasaan dendam terhadap keluarga mangsa selepas cintanya ditolak oleh salah seorang ahli keluarga berkenaan.

"Pasukan polis turut merampas dua laras senapang patah Bekakok buatan sendiri, dua laras senapang angin buatan sendiri, sebutir peluru jenama Clever 12 Mirage dan satu kelongsong peluru jenama 12 Mirage daripada suspek.

"Rampasan dibuat dengan dipandu arah oleh suspek lalu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 2:06 PM