AHMAD Zahid ketika bertemu pengamal media selepas Majlis Penutup  Madani Ride PDRM bersama ISBC. FOTO Bernama
AHMAD Zahid ketika bertemu pengamal media selepas Majlis Penutup Madani Ride PDRM bersama ISBC. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Shah Alam: Barisan Nasional (BN) akan meneliti senarai calon bagi mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat ringan yang terhempas di Elmina, di sini, pada 17 Ogos lalu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penelitian akan dibuat bagi memilih calon menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun berkenaan.

"Saya sudah mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Kita sudah meneliti bukan hanya keputusan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tetapi kita merasakan bahawa pembangunan Dun Pelangai harus diberi kesinambungan dan diteruskan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Madani Ride PDRM ISBC sempena Hari Peringatan Polis dan Bulan Kebangsaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Pengerusi BN yang juga Presiden Umno itu berkata, nama calon akan dikemukakan oleh Bahagian Bentong kepada Badan Perhubungan Umno Negeri sebelum diserahkan kepada pihak kepimpinan untuk penelitian lanjut.

Hari ini, Speaker Dun Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin menyerahkan notis kekosongan Dun Pelangai kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Notis itu diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang Datuk Zamree Hamli pada 11.20 pagi, di Wisma Sri Pahang di sini.

Khamis lalu, penyandang Dun Pelangai, Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat berkenaan.

Allahyarham Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang adalah seorang tokoh korporat berjaya sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 7:42 PM