Fahmy A Rosli


Bentong: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Bebas.

Mereka adalah Kasim Samat yang mewakili PN, Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas) dan Datuk Amizar Abu Adam (BN).

Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus PRK DUN Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail di Pusat Penamaan Calon dekat Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, di sini pagi ini.

PRK DUN Pelangai diadakan selepas penyandang kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, di Shah Alam, Selangor, bulan lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 3 Oktober depan sebagai hari undi awal dan 7 Oktober untuk hari pengundian.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri (calon PH- 2,031 undi) dan Isa Ahmad (calon PEJUANG -65 undi).

Berdasarkan rekod, DUN Pelangai mulai dijadikan kawasan DUN pada 1986 dan sejak itu ia diwakili wakil rakyat daripada Barisan Nasional- UMNO (BN-UMNO), dengan bekas Menteri Besar Pahang mewakili kawasan itu untuk lapan penggal (1986-2022).

Johari yang juga anak jati Pelangai dicalonkan BN-UMNO pada PRU15 dan mengekalkan kerusi itu untuk terus menjadi kubu kuat DUN di Pahang.

DUN Pelangai mempunyai seramai 16,456 pengundi berdaftar dan hampir 75 peratus adalah pengundi Melayu manakala pengundi Cina mewakili 20 peratus, India dan Orang Asli 10 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 11:35 AM
Calon bagi PRK DUN Pelangai (dari kiri) Amizar, Kasim Samat dan Haslihelmy ketika nama diumumkan di pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul. FOTO BERNAMA
Calon bagi PRK DUN Pelangai (dari kiri) Amizar, Kasim Samat dan Haslihelmy ketika nama diumumkan di pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul. FOTO BERNAMA