AMIRUDIN, gambar fail. FOTO Bernama
AMIRUDIN, gambar fail. FOTO Bernama
Suraya Ali


Kuala Lumpur: Sokongan penduduk Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai terhadap calon Perpaduan, Datuk Amizar Abu Adam yang dipilih sebagai wakil rakyat dalam Pilihan Raya Kecil yang berlangsung hari ini dilihat sebagai pengiktirafan rakyat yang semakin yakin dengan kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) di Dun Pelangai adalah satu pengiktirafan rakyat semakin yakin dengan Perpaduan sebagai wadah terbaik untuk memajukan dan memakmurkan negara kita Malaysia.

"Terima kasih kepada seluruh pasukan petugas pilihan raya dan keselamatan yang memastikan proses ini yang bermula dua minggu lalu berjalan dengan sungguh lancar," katanya.

BN berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini, dalam pertembungan tiga penjuru.

BN menerusi calonnya, Datuk Amizar Abu Adam memperoleh 7,324 undi, sekali gus menewaskan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 43 undi.

Kerusi Dun Pelangai diisytiharkan kosong Ogos lalu susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Johari yang adalah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai selepas memenangi kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 10:49 PM