Asrol Awang


Kuantan: Lebih 600 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai di Bentong.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, semua pegawai dan anggota itu hanya membabitkan sumber kekuatan dalaman daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Menurutnya, pihaknya bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya berkenaan bermula pada hari penamaan calon, tempoh berkempen, undi awal dan hari mengundi.

"Bagi menjamin keselamatan sepanjang PRK, polis sudah mengadakan siri latihan persediaan untuk memastikan segalanya berjalan lancar. Kita akan membuka bilik gerakan dua hari sebelum hari penaman calon.

"Berdasarkan rekod pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 (PRU-15) lalu, tiada isu ketenteraman dan kaum di Dun Pelangai.

"Oleh itu, saya memohon semua petugas menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan mengikut undang-undang serta garis panduan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di IPK Pahang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin.

PRK Dun Pelangai ditetapkan 7 Oktober depan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

SPR menetapkan 23 September adalah hari penamaan calon, tempoh kempen selama dua minggu bermula 23 September hingga 6 Oktober, undi awal (3 oktober) dan hari pengundian (7 Oktober).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 12:53 PM
Yahaya Othman menyerahkan bendera PDRM kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk  Mohd Yusri Othman pada Majlis Pelepasan Dan Penyerahan Bendera Kontinjen Pahang sempena Ekspedisi Mendaki Gunung Kinabalu di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Yahaya Othman menyerahkan bendera PDRM kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Mohd Yusri Othman pada Majlis Pelepasan Dan Penyerahan Bendera Kontinjen Pahang sempena Ekspedisi Mendaki Gunung Kinabalu di Kuantan. FOTO Asrol Awang