Ruwaida Md Zain


Klang: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mempermudahkan segala proses pengurusan jenazah 10 mangsa nahas pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam sebaik urusan di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) selesai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussein berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan berhubung urusan berkenaan hari ini.

Menurutnya, JAIS akan menguruskan apabila selesai proses bedah siasat, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sudah diketahui padanannya.

"Seperti saya cakap sebelum ini, 22 sampel DNA sudah diambil (daripada waris mangsa). Bagaimanapun (proses) mengambil 'human remains' ini... ada badan, ada kepala, ada cebisan.

"Mengikut Jabatan Forensik, 200 lebih cebisan. Ia memakan masa untuk mendapatkan, menguruskan padanan DNA dengan cebisan itu paling awal Isnin.

"Jadi, JAIS akan menguruskan dan permudahkan semua urusan dari segi mandi jenazah, solat dan kenderaan jenazah sudah disediakan sejumlah 10 oleh JAIS.

"Polis cuma mengiringi ke mana saja jenazah dibawa termasuk dikebumikan JAIS yang mempermudahkan semua hal," katanya kepada pemberita di perkarangan Jabatan Forensik HTAR di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, laluan konsesi Elmina yang ditutup susulan nahas pesawat terbabit sejak semalam dibuka sejak jam 3 petang tadi.

"Proses pembersihan termasuk pengumpulan cebisan mayat sudah selesai sepenuhnya di lokasi kejadian.

"Konsesi Elmina dibuka jam 3 petang, pembersihan selesai sepenuhnya maksudnya pihak polis, Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI), CSI dan Pihak Biro Siasatan Keselamatan Udara (BSKU) sudah selesai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 4:01 PM