ALLAHYARHAM Sharipuddin Shaari
ALLAHYARHAM Sharipuddin Shaari
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Grab Malaysia dan komuniti rakan penghantar akan memberi sokongan dan bantuan sewajarnya kepada keluarga Sharipuddin Shaari yang maut dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, semalam.

Grab Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dan seluruh komuniti rakan penghantar berduka cita kerana insiden itu berlaku ketika Allahyarham sedang bekerja keras mencari rezeki halal.

"Keluarga Grab mengucapkan takziah kepada keluarga, waris, dan rakan-rakan Sharipuddin yang juga seorang rakan penghantar yang berdedikasi.

"Kami dapat merasakan kesedihan yang dilalui kalian semua ketika ini. Pasukan kami sudah menghubungi keluarga Sharipuddin untuk memberi sokongan dan bantuan sewajarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, disamping faedah perlindungan insurans pihaknya akan memastikan waris mangsa menerima lebih banyak bantuan lain.

"Ini termasuk bayaran daripada dana Grab Partner Zakat dan sumbangan daripada Grab Malaysia dan komuniti rakan penghantar sendiri.

"Pihak kami juga memanjatkan doa buat keluarga Sharipuddin dan kepada keluarga mangsa lain yang terbabit dalam nahas tragis di Elmina," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, 10 mangsa maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat selain seorang pemandu e-hailing dan penunggang motosikal yang melalui jalan itu turut menjadi mangsa.

Pasukan penyiasat berjaya menemui peti rakaman suara kokpit (CVR) iaitu salah satu daripada komponen kotak hitam pesawat berkenaan jam 10.20 malam, semalam.

Operasi pencarian serpihan pesawat dan cebisan mayat mangsa di kawasan nahas pesawat ringan yang terhempas di Elmina, Shah Alam selesai kira-kira jam 3 petang hari ini.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mempermudahkan segala proses pengurusan jenazah terbabit berikutan keadaan tubuh mangsa yang tidak sempurna.

Semua jenazah akan diuruskan apabila selesai proses bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sudah diketahui padanannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 9:28 PM