NIK Izz Nur Arissa menjual mainan  di laman TikTok sejak Februari lalu dan dia fasih berbahasa Mandarin melayani pelanggannya.
NIK Izz Nur Arissa menjual mainan di laman TikTok sejak Februari lalu dan dia fasih berbahasa Mandarin melayani pelanggannya.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Nik Izz Nur Arissa Nik Mohd Izafudin Shah, 12, atau mesra disapa Iris, mula berjinak-jinak menjual softoys bundle menggunakan laman TikToknya sejak Februari lalu dan istimewanya, dia juga fasih berbahasa Mandarin.

Dalam masa hampir tujuh bulan sahaja, Iris berjaya mengumpul lebih 13,000 pengikut daripada pelbagai latar belakang dan umur dengan lebih 100,000 menyukai (like) videonya.

Setiap kali Iris bersiaran langsung menjual softoys bundle di laman TikToknya, akan turut berkumandang lagu dalam bahasa Mandarin, dendangan penyanyi dalam dan luar negara.

Antara lagu itu yang diterjemahkan tajuknya ialah Till We Meet Again, Red Scarf, Your Name Engraved Herein dan It Might Break Your Pinky Heart.

Santai berbahasa Mandarin apabila melayani pelanggan berbangsa Tionghua, anak kelahiran Tumpat, Kelantan ini ternyata mencuri perhatian ramai pengikut laman sosial.

Tanpa rasa kekok serta disulami gelak tawa, Iris menjawab pertanyaan bakal pembeli yang berminat dengan softtoys bundle yang dijualnya dengan penuh ramah. Hampir setiap hari, daripada jam 9.30 malam hingga jam 12.00 tengah malam, Iris bersiaran di TikTok secara langsung sambil ditemani bapanya, Nik Mohd Izafudin Shah Nik Mat, 42, di rumah mereka di Kampung Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat.

Menggunakan jenama Iriz Collection, antara softoys bundle yang dijual dan mendapat permintaan menggalakkan ialah rantai kunci karakter kartun 'PAW Patro'l, 'Garfield', 'Care Bears' dan yang berbentuk anime seperti 'Sotoru Gojo', 'Jujutsu Kaisen' dan 'Naruto'.

Murid tahun enam Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Tze, Tumpat dan juga anak sulung daripada empat beradik ini berkata, bapanya banyak membantunya menjadi berani bagi memulakan langkah untuk bersiaran secara langsung di TikTok.

"Pada mulanya ayah meminta saya bersiaran bersamanya kerana menyedari saya terlalu lemah berkomunikasi dengan orang ramai. Namun lama kelamaan ia menjadi kebiasaan malah saya sendiri tidak sabar untuk memulakan siaran langsung.

"Jika ditanya perasaan saya, sudah tentu saya berasa gementar memikirkan tanggapan pertama orang ramai namun kehadiran ayah banyak membantu malah dia memberi ilham, panduan serta peluang untuk saya sentiasa memperbaiki diri ketika bersiaran secara langsung," katanya dihubungi Bernama baru-baru ini.

Menyifatkan media sosial bukan sahaja platform untuk mencari sumber pendapatan untuk perniagaan softoys bundle yang diusahakan keluarganya, Iris berkata, ia juga menjadi titik tolak untuknya mengasah bakat serta kemahiran berkomunikasi dengan lebih baik.

"Seronok setiap kali bersiaran, kawan-kawan di sekolah juga sentiasa memberi sokongan. Ada kalanya mereka turut membeli hampir semua softoys bundle yang saya jual sebagai tanda sokongan.

"Walaupun begitu, tanggungjawab sebagai murid tetap diutamakan. Saya akan memastikan kerja sekolah disiapkan terlebih dahulu sama ada di sekolah atau sebelum bersiaran," katanya sambil sesekali sibuk membaca mesej dan mengambil pesanan melalui telefon bimbitnya dalam bahasa Mandarin.

Iris berkongsi, lazimnya, selesai membuat ulasan dengan pelanggan Tionghua, pelanggan lain turut teruja untuk bertanya apa yang dibincangkan kerana tidak mahu terlepas peluang melihat produk.

"Walaupun ada yang masuk live sekadar untuk berbual kosong serta bertukar pendapat, namun ia memadai kerana secara tidak langsung, ia dapat menambah kosa kata dalam bahasa Mandarin," katanya.

Lebih membuatkan Iris terharu ialah apabila ada pelanggan yang memberi komen seperti 'anda sangat hebat dan terima kasih mempelajari bahasa kami, kami pasti menyokongmu'.

Iris pada awalnya bimbang dengan penerimaan pelanggan, namun kegusarannya hilang selepas menerima banyak maklum balas positif.

"Sangkaan saya ternyata meleset. Saya dikelilingi individu baik hati. Mereka (pelanggan Tionghua) memberi maklum balas yang baik setiap kali saya berkomunikasi.

"Bagi saya sesiapa sahaja boleh belajar dan menguasai apa-apa bahasa yang mereka minat kerana bahasa melambangkan perpaduan. Penguasaan pelbagai bahasa juga boleh mengeratkan hubungan masyarakat dan mewujudkan keharmonian tanpa mengira batas kaum dan agama," katanya.

Sementara itu, Nik Mohd Izafudin melahirkan rasa syukur dengan kebolehan Iris bertutur dalam bahasa Mandarin meskipun pada awalnya agak sukar untuk mempelajari bahasa itu.

Beliau menghantar Iris ke Tadika Cina sejak berusia empat tahun sebagai langkah awal mempelajari bahasa Mandarin, sekali gus memastikan anaknya itu boleh menguasai bahasa itu dan belajar berdikari.

"Selain dalam bidang perniagaan, saya mengharapkan Iris dapat belajar cara dan budaya mereka (masyarakat Tionghua) bekerja, senang cerita 'kutip' perkara baik untuk dijadikan panduan hidup. Kalau boleh saya mahu dia belajar seberapa banyak bahasa, bukan untuk saya tetapi sebagai bonus dalam kehidupan dia nanti," katanya.

Bapa kepada empat anak berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu menambah, beliau sentiasa menegur sekiranya Iris melakukan kesilapan termasuk ketika sedang bersiaran langsung dan berharap nasihat dan tunjuk ajarnya dapat membantu kehidupan anaknya itu kelak.

SEBAHAGIAN anak patung yang dijual Iris di TikTok.
SEBAHAGIAN anak patung yang dijual Iris di TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 7:01 AM