ZIE ketika bersiaran di media sosial menjual barangan bundle. FOTO Ihsan Mohd Airol Azizie Aftar
ZIE ketika bersiaran di media sosial menjual barangan bundle. FOTO Ihsan Mohd Airol Azizie Aftar
Redzuan Muharam

Kota Kinabalu: Zahirnya, Mohd Airol Azizie Aftar ada kekurangan kerana pekak dan bisu sejak lahir, namun semangatnya kuat untuk menyara keluarga dengan menjual bundle atau pakaian terpakai di platform jual beli dalam talian.

Menariknya, Mohd Airol Azizie, 34, yang mesra disapa Zie tidak kekok mengadakan sesi jualan secara langsung di platform itu dan cuba berinteraksi dengan pelanggan walaupun tidak dapat memberi respons kembali.

Berkongsi kisahnya, Zie yang menetap di Taman Pantai Lok Kawi, di sini berkata, dia pernah melakukan pelbagai pekerjaan antaranya kru di sebuah restoran makanan segera, tukang cuci dan pembungkus di syarikat logistik.

Bagaimanapun, hasrat mencuba sesuatu yang baru mendorongnya fokus sebagai peniaga pakaian terpakai secara sepenuh masa bermula 30 Jun lalu.

"Niat saya berniaga adalah untuk mencari rezeki buat keluarga terutama anak (Aryan Aizuddin, 5) dan isteri (Didayuanna Daip,32).

"Saya tidak berseorangan sebaliknya dibantu kakak sebagai penterjemah bahasa isyarat dan abang ipar yang membantu mencari saiz baju dimahukan pelanggan.

"Sesi siaran langsung diadakan setiap hari kecuali Rabu, kebiasaannya daripada jam 10 hingga 12 tengah malam dan paling lewat 1 pagi.

"Selesai semuanya, saya juga yang akan membungkus barangan dan ke pejabat kurier untuk urusan penghantaran," katanya ketika dihubungi Harian Metro secara maya dengan bantuan kakaknya sebagai penterjemah.

ZIE pernah meraih sehingga RM200 dalam tempoh dua jam bersiaran menjual pakaian terpakai. FOTO Ihsan Mohd Airol Azizie Aftar
ZIE pernah meraih sehingga RM200 dalam tempoh dua jam bersiaran menjual pakaian terpakai. FOTO Ihsan Mohd Airol Azizie Aftar

Menurut Zie, jumlah yang menonton sesi siaran langsung jualannya tidak banyak pada awalnya malah pernah kurang daripada 10 pada satu ketika.

Zie bagaimanapun enggan berputus asa kerana sedar itu sebahagian daripada cabaran dan lumrah dalam perniagaan.

"Hasil jualan saya ada naik dan turunnya kerana pernah meraih RM100 hingga RM200 sepanjang dua jam bersiaran.

"Ada ketika, saya hanya dapat RM50 hingga RM80 saja dan pernah juga tidak beroleh sebarang hasil.

"Pelbagai pengalaman saya peroleh sebagai peniaga sepanjang tiga bulan ini antaranya pembeli tidak membuat pembayaran tetapi ada juga baik hati membayar lebih daripada nilai sepatutnya dan membeli sebagai tanda sokongan," katanya yang mempunyai sijil kemahiran pengajian Katering dan Hospitaliti lulusan Politeknik Kota Kinabali, di sini.

Berhubung kisahnya yang tular di laman sosial, Zie berkata dia tahu mengenai perkara itu kelmarin dan terharu dengan perkongsian berkenaan.

"Sejak kisah saya tular, pengikut bertambah begitu juga jumlah yang menonton sesi jualan siaran langsung.

"Sebelum ini, 20 orang saja yang menonton tetapi kelmarin naik sehingga 50 .

"Terima kasih kepada semua pengikut dan mereka yang pernah membeli pakaian jualan saya.

"Diharap, sokongan itu berterusan kerana saya merancang menjual produk penjagaan rambut selepas ini bagi mempelbagaikan lagi barangan jualan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 10:36 PM