Mohd Hairi (kiri) meninjau situasi kebakaran di Terminal Larkin Sentral. FOTO OMAR AHMAD
Mohd Hairi (kiri) meninjau situasi kebakaran di Terminal Larkin Sentral. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) akan menyalurkan bantuan kecemasan RM5,000 kepada empat peniaga terjejas kebakaran di Terminal Bas dan Pasar Awam, Larkin Sentral di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Mohd Hairi Mad Shah berkata, peniaga terjejas juga dibantu dari segi geran dan pinjaman perniagaan.

"Bagi fasa pertama untuk mengembalikan semangat empat peniaga terbabit, PUJB akan menyalurkan bantuan masing-masing sebanyak RM5,000," katanya ditemui ketika meninjau lokasi kebakaran tadi.

Larkin Sentral mempunyai 640 lot kedai termasuk lot kedai pakaian, pasar basah dan pasar kering.

Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin memberitahu, jumlah kerugian keseluruhan kejadian itu hanya akan dapat diperoleh selepas penilaian dilakukan pihak berwajib.

"JKR (Jabatan Kerja Raya) akan datang untuk sama-sama membuat penilaian kos kerugian, perkara itu akan diumumkan kemudian," katanya.

Pagi tadi, empat premis terbakar membabitkan kedai yang menjual bahan bacaan, bahan kosmetik serta bahan herba tradisional musnah terbakar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Negeri Johor, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 6.50 pagi dan api berjaya dikawal pada jam 8.25 pagi.

Katanya pihaknya menghadapi sedikit kesukaran kerana setiap lot kedai mempunyai loteng iaitu tempat letak barang yang turut runtuh dan terbakar.

"Kebakaran membabitkan dua kedai buku terbakar 90 peratus, satu kedai minyak wangi (70 peratus) dan satu kedai kosmetik dan herba terjejas 10 peratus.

"Semasa kejadian kesemua kedai belum dibuka. Hanya terdapat orang awam di bahagian bawah (terminal) tetapi semua selamat," katanya punca kejadian jumlah sebenar kerugian dalam siasatan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 1:53 PM