Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Satu perbincangan akan dilakukan antara Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Isnin ini khusus untuk mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah peniaga yang terjejas dalam kebakaran di Pasar Datuk Keramat petang Rabu lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah berkata, beliau difahamkan selepas perbincangan itu akan ada keputusan daripada pihak menteri mengenai penyelesaian.

Menurutnya, antara keutamaannya adalah merangka satu garis panduan untuk membantu dan memudahkan urusan bagi peniaga terjejas mencari rezeki berniaga khususnya pada Ramadan kerana lokasi itu sentiasa menjadi tumpuan pengunjung.

"Perbincangan nanti tentunya mengenai macam mana cara nak menguruskan ini. Sudah beberapa kali kita menemui peniaga yang terjejas dalam kebakaran itu...tunggulah, akan ada keputusan.

"Kita sudah tengok lokasi dan kita pun sudah cakap akan menyelesaikan perkara ini secepat mungkin sebab Ramadan hampir tiba.

"Difahamkan, perbincangan bersama menteri akan diadakan pada 3 petang (Isnin)," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas permintaan mangsa kebakaran itu yang merayu supaya mereka dibenarkan berniaga dan juga berharap pembangunan semula kawasan dapat disiapkan sebelum Ramadan.

Menurut Mahadi, masa yang ada semakin suntuk dan pihaknya berhempas-pulas mencari opsyen supaya dapat mengejar masa bagi memastikan peniaga terjejas boleh berniaga pada Ramadan.

Laporan Harian Metro sebelum ini
Laporan Harian Metro sebelum ini

"Kita akan memilih jalan penyelesaian paling tepat dengan matlamat, termasuk sumber kewangan kita," katanya.

Mangsa kebakaran, Hambali Osman, 59, yang juga pemilik gerai ikan bakar Mak Teh berkata, dia berharap sekurang-kurangnya peniaga dibenarkan memasang kanopi di kawasan lapang antara deretan kedai yang hangus dan Pasar Awam, Pasar Datuk Keramat.

Dalam kejadian itu, dia kerugian kira-kira RM40,000 membabitkan barangan di dua lot kedai miliknya dan di tiga lot kedai disewanya untuk berniaga.

Tragedi pada 5.30 petang Rabu lalu, lebih 40 deretan kedai di Pasar Datuk Keramat terbakar namun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Berita berkaitan

Kebakaran Pasar Datuk Keramat, tiada unsur sabotaj

Pasar besar Datuk Keramat terbakar [METROTV]

Kebakaran Pasar Datuk Keramat: Kaunter pusat bantuan dibuka

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 4:59 PM