Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Rata-rata peniaga di Pasar Datuk Keramat, di sini, menyifatkan kebakaran di deretan kedai itu petang semalam sebagai dugaan besar perlu ditempuhi mereka dengan reda menjelang Ramadan, tidak lama lagi.

Peniaga pakaian baju Melayu dan songkok, Nurhafizah Ambo, 42, berkata, dia kerugian RM30,000 apabila stok baharu sahaja dimasukkan ke dalam kedai sebagai persiapan jualan sepanjang Ramadan hingga Aidilfitri hangus semuanya.

Dia yang menyambung perniagaan tradisi arwah bapanya sejak 1984 di situ amat berharap pembangunan semula lot kedai itu dapat disiapkan sebelum Ramadan tiba, pertengahan bulan depan.

"Stok barang semua sudah masuk. Stok songkok sahaja bernilai RM18,000. Tempahan baju Melayu kira-kira 50 pasang termasuk yang sudah siap dan belum siap.

"Selain menjual baju Melayu siap, saya turut mengambil tempahan menjahit baju Melayu.

"Masa kejadian saya ada di kedai, tetapi api begitu pantas merebak masuk ke kedai. Saya hanya memikirkan keselamatan anak perempuan bongsu dan membawanya keluar ke tempat selamat.

"Api masuk menyambar seluruh kedai, tak sempat nak keluarkan apa-apa barang," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran itu, hari ini.

NURHAFIZAH antara 46 peniaga terkesan akibat kebakaran deretan kedai di Pasar Datuk Keramat, petang semalam.
NURHAFIZAH antara 46 peniaga terkesan akibat kebakaran deretan kedai di Pasar Datuk Keramat, petang semalam.

Beliau berkata, ketika ini, semua peniaga berurusan dengan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan cawangan Datuk Keramat yang dijadikan orang tengah untuk mendapatkan maklumat terkini termasuk tindakan susulan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kebiasaannya, Nurhafizah berkata, pada bulan puasa dia akan membuka khemah di hadapan lot kedai khas untuk jualan songkok selain baju di dalam kedai.

Justeri, dia berharap sekiranya keadaan ini tidak dapat dipulihkan segera, mereka dibenarkan berniaga di kaki lima. "Mengenai pelanggan yang buat tempahan baju Melayu pula, ada sudah tahu mengenai bencana ini dan ada yang belum tahu.

"Mana yang sudah tahu mereka reda termasuk sudah bayar deposit dan meminta saya sekeluarga banyakkan bersabar," katanya yang menyewa kedai RM300 sebulan.

Peniaga makanan, Saadom Mat Taki, 70, berkata dia dan isterinya Rosnah Abdul Rashid, 64, yang sudah berniaga di kawasan itu sejak 1960-an menganggap kejadian sebagai kemalangan dan tiada sesiapa mahu ia berlaku.

Sebagai peniaga kecil, katanya, harapannya supaya kerajaan dapat memulihkan bangunan kedai itu secepat mungkin.

"Kejadian ini sudah ditentukan Allah SWT. Cuma sebagai peniaga, harapnya dapat bangunkan kedai ini segera. Semalam dalam ziarahnya, Menteri Wilayah (Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa) pun cakap sebelum puasa akan bina semula bangunan kedai ini.

"Jadi kami harapkan apa dicakapkan menteri menjadi kenyataan, sebelum puasa siap. Kami bukan nak banyak, dapat siapkan bumbung dahulu kemudian minta adalah sedikit sumbangan kepada kami untuk membuat balik kedai.

"Kami ini peniaga kecil, itulah harapan kami daripada kerajaan. Jika tak bantu kami, macam mana kami nak bergerak. Habis lumpuh perniagaan. Semua habis hangus, tiada apa yang tinggal lagi," katanya yang kerugian kira-kira RM30,000 termasuk peti sejuk beku penyimpanan makanan dan peralatan dapur.

SAADOM mengemas barang yang terselamat dikedainya.
SAADOM mengemas barang yang terselamat dikedainya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan cawangan Datuk Keramat, Mohamed Tarmizi Mohamed Akil yang ditemui ketika meninjau pasar itu, berkata 46 peniaga terkesan akibat kebakaran berkenaan.

"Kami sedang giat mendapatkan maklumat daripada peniaga itu untuk diserahkan kepada DBKL.

"Wakil rakyat yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd Harun sudah ambil maklum perkara ini dan akan bekerjasama dengan DBKL untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu itu," katanya.

Kaunter pusat bantuan Persatuan Penjaja Pasar Datuk Keramat bagi membantu peniaga pasar terjejas turut dibuka, hari ini.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dipetik berkata, kaunter berkenaan dibuka di kawasan kebakaran bagi mengumpul maklumat mangsa untuk tujuan menyalurkan bantuan.

Manakala Annuar yang melawat pasar berkenaan malam tadi, dilaporkan berkata status tanah tapak perniagaan Pasar Datuk Keramat akan dibincangkan bersama pemaju dalam masa terdekat.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, deretan kedai di pasar itu terbakar, namun tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 4:37 PM