TUNKU Azizah berkenan bergambar ketika berangkat ke Majlis Santapan Hi-Tea di Istana Negara hari ini.
TUNKU Azizah berkenan bergambar ketika berangkat ke Majlis Santapan Hi-Tea di Istana Negara hari ini.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Hi-Tea Bersama Seri Paduka di Istana Negara hari ini.

Keberangkatan tiba Tunku Azizah pada 4 petang turut diiringi Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah; Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin Abdul Rahman; Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim; Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Turut mengiringi isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Ruziah Mohd Tahir.

Pada majlis santapan itu, seramai 350 tetamu hadir terdiri daripada pereka fesyen tempatan, ahli politik, selebriti dan pempengaruh.

Acara petang itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian serta pertunjukan busana tradisional termasuk songket dan Tenun Pahang yang dikendalikan oleh pereka fesyen Datuk Radzuan Radziwill.

Ketika ditemui Bernama selepas majlis itu Radzuan berkata pertunjukan busana itu membabitkan 60 peragaan dengan setiap model memperagakan kombinasi empat jenis fabrik tradisional.

Empat fabrik itu membabitkan Tenun Pahang Diraja, songket Yayasan Tuanku Nur Zahirah, batik Pink Jambu dan telepuk yang juga daripada Tenun Pahang Diraja.

"Kombinasi tradisional fabrik empat hingga lima jenis ini tidak dipotong mahupun dijahit bagi memastikan fabrik yang ditenun oleh penghuni penjara dan ibu tunggal ini dapat dijual terus kepada pembeli yang berminat sekali gus memberi pendapatan kepada mereka yang terlibat," katanya.

Selain itu sebanyak 70 busana peribadi Tunku Azizah turut dipamerkan di hadapan dewan santapan bagi memberi peluang tetamu melihat dengan lebih dekat koleksi diraja itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 9:10 PM